Sunday, September 9, 2012

Erti Kemerdekaan Buat Saya



Bagi saya, erti kemerdekaan adalah dengan memiliki PEMIKIRAN YANG MERDEKA.
Di sini, saya senaraikan kriteria pemikiran yang merdeka itu dengan disertakan 
sedikit huraian.

Pertama; pemikiran yang ada originaliti berdasarkan jati diri dan integriti. 
Sebagai contoh, saya mempunyai pendirian bahawa saya suka mendiamkan diri dalam sesuatu majlis/mukim yang mana pesertanya ramai saya tak kenal. Jadi ada kawan yang cop saya sombong. Ada juga yang kata saya tak reti nak berkawan. Lalu mereka pun menyarankan saya lebih banyak bercakap dan tidak menjadi pendiam. Saya tidak tergugat dengan tohmahan itu sebaliknya saya susulkan dengan hujah bahawa saya tidak suka turut serta dalam sesi perbualan kosong yang berpotensi untuk bertukar menjadi sesi menyebarkan fitnah.

Kedua; pemikiran yang menyokong kepada keberanian untuk bersuara dalam menegakkan hak dan moral. Contoh, saya tidak takut untuk berhadapan dengan orang yang berjawatan seperti Dekan, Timbalan Dekan, pegawai-pegawai di mana-mana jabatan dan lain-lain untuk membincangkan tentang isu-isu yg timbul. Saya selalu jugak membuat aduan dengan penuh keras kepada bhgn aduan melalui telefon Maxis Broadband, Celcom Broadband, Maxis postpaid line, Maybank kerana ada isu seperti kesilapan dalam bil dan transaksi yang tak mendapat kelulusan saya.  

Ketiga; pemikiran yang suka untuk mendalami ilmu melalui kajian dan pembacaan untuk menepis angkara fitnah dan mentaliti dangkal. Apabila sesuatu isu timbul seperti contoh; dlm politik, isu2 yang dibangkitkan oleh pihak Barisan Nasional dan juga pihak Pakatan Rakyat saya dalami dengan pembacaan bahan-bahan berkaitan di internet. Keseimbangan dalam kajian adalah penting dengan melihat pertembungan hujah antara kedua-dua belah pihak. Saya baca blog pemimpin2 kerajaan dan juga pembangkang. Saya baca Utusan Malaysia, saya juga baca MalaysiaKini. Saya tengok TV3, saya juga tengok video ceramah Anwar Ibrahim.

Bukan saja ilmu berkaitan politik, malah aspek ilmu yang lain seperti agama perlu diberi keutamaan juga. Dengan analisis pembacaan yang banyak itu sedikit sebanyak dapat membantu dalam memahami hakikat ketuhanan, penciptaan dunia dan fungsinya sebagai persediaan ke arah Hari Kebangkitan.

Saya rasa sangat bebas dengan memiliki ketiga-tiga kriteria pemikiran ini. 

Saya tidak takut untuk mengkritik sesuatu pihak kerana saya memahami bahawa konsep kritikan tidak sama dengan konsep kutukan. Malah saya sedia berhadapan dengan kesan dan tindakan daripada pihak yang dikritik atas nama moraliti dan integriti. Saya faham bahawa matlamat sesekali tidak akan dapat menghalalkan cara. 

Walau apapun pemikiran subjektif anda tentang kemerdekaan, saya berharap mentaliti setiap daripada kita bebas daripada belenggu penjajahan mentaliti tidak sihat, samada dari sumber domestik mahupun luar. Pentingkan kesederhanaan dan jauhkan diri daripada terlibat dalam kegiatan radikal akibat sikap obses dan fanatik yang menguasai pemikiran yang tidak merdeka.


No comments:

Post a Comment