Tuesday, October 9, 2012

Doktor Umum



Di kesempatan ini saya ingin mengambil peluang dan ruang untuk memberi sedikit ulasan berkenaan buku terbaru Dr. Mahathir Mohamad, Doktor Umum, yang versi asalnya adalah dalam Bahasa Inggeris berjudul Doctor In The House. 

Saya membeli buku ini pada 18 Mei 2012 dan khatam pada 31 Mei 2012; bermakna saya berjaya menghabiskan pembacaan buku yang berhalaman hampir 1000 muka surat ini dalam masa 14 hari aka 2 minggu sahaja. Juga bermakna, secara purata, saya membaca hampir 70 muka surat buku ini setiap hari.

Dr. M sememangnya seorang tokoh politik Malaysia yang sentiasa diselubungi kontroversi. Situasi sensasi yang timbul adalah akibat daripada kenyataan2 beliau yang mengundang perhatian media, tindakan dan dasar2 yang memagnet kritikan, dan cara beliau berhadapan dengan pelbagai keadaan. 

Maka terpahatlah Dr. M dalam sejarah sebagai Perdana Menteri Malaysia yang paling lama memegang jawatannya iaitu selama 22 tahun. Paling bermakna, Dr. M mendapat pengiktirafan secara konsensus sebagai seorang diktaktor di peringkat tempatan mahupun antarabangsa. 

Saya suka perkara2 berunsur kontroversi, maka apa yang berkaitan dengan Dr. M membuatkan saya sangat teruja. Ada banyak persoalan yang tersimpan di benak minda berkaitan isu2 melibatkan Dr M seperti pemecatan Anwar Ibrahim, penyingkiran Dr M daripada UMNO, Ops Lalang, pemecatan Ketua Hakim, pelantikan Daim sebagai Menteri Kewangan, dan peristiwa UMNO diharamkan.

Doktor Umum berjaya memberi penjelasan berkaitan isu2 terbabit namun kurang berjaya dalam menyusulkan huraian hujah yang benar-benar kuat, membuatkan saya menilai kembali persepsi saya terhadap Dr. M. Penjelasan hanya menyentuh kepada permukaan, dan tidak menyelam dengan lebih dalam. Ada hujah yang dilihat goyah dan tidak menjawab pokok persoalan.

Dalam menyentuh pelbagai isu yang dituju kepada Dr.M sebagai seorang yang bertanggungjawab, beliau seolah-olah menyalahkan pihak lain atas kesan negatif yang timbul. Sebagai contoh; Operasi Lalang - Dr M menyalahkan pihak polis yang menangkap ramai pemimpin pembangkang sedangkan bukan arahannya sebegitu. Kes mata lebam Anwar sewaktu dalam tahanan - beliau menyalahkan bekas Ketua Polis Negara. Kes pemecatan Ketua Hakim - beliau menuding jari kepada Yang DiPertuan Agong dan Peguam Negara. Sekali lagi Peguam Negara disalahkan dalam kelemahan pihak plaintif sewaktu perbicaraan kes Anwar Ibrahim.

Apa-apa pun, kredit harus diberi kepada kemahiran penulisan Dr. M yang sangat jelas dan mudah untuk difahami. Kemahiran berhujah Dr. M, cara dan usaha beliau untuk meyakinkan orang adalah dikagumi. Perlu juga diberi pujian kepada sikap Dr. M melalui tulisan yang mengakui kelemahan diri - beliau tahu yg beliau perlu berundur kerana orang ramai seakan-akan dah mula bertanya "bila lagi orang tua ini mahu berhenti?" (ms 904); menunjukkan Dr. M adalah seimbang daripada segi mengangkat diri dan juga menurunkan dirinya. 

Saya kagum dengan pencapaian Malaysia semasa era Dr. M sebagai Perdana Menteri kerana beliau disokong oleh kumpulan sokongan Kabinet yang berbakat dan berkaliber. Di sebalik pencapaian Malaysia yang pelbagai pada eranya, muncul kabus drama dan kontroversi yang menjadikan Dr. M sebagai seorang pemimpin yang unik dan punya originaliti.

Justeru, saya sarankan anda membaca buku ini demi memahami perjuangan Dr M dan 
kesannya kepada pembentukan Malaysia yang kita lihat sekarang. Samada Dr. M adalah tokoh yang anda sanjung mahupun tidak, buku ini saya pasti memberi manfaat yang sepatutnya ke arah membina pemikiran yang lebih matang.




No comments:

Post a Comment