Tuesday, November 20, 2012

Pembunuhan Siapa yang Berbeza



Mereka sedang berusaha
untuk membunuh kita yang berbeza.
Bagi mereka kita sangat bahaya
kerana suara kita menghakis kuasa
mereka yang rakus.
Maka UMNGOK bunuh dan terus membunuh
minda yang berbeza ditusuk keris syaitan
supaya apa yang tinggal
adalah harapan dan kuasa Tuhan.




Syiman Syareman
13 November 2012


 

Antara Senyum dan Tangis



Aku bersedia dengan senyuman dan tangisan
pada hari esok keputusannya tiba
dan akan aku redha seadanya
pada berita gembira atau duka.


Antara senyum dan tangis
menyelit qada dan qadar Tuhan
Samada bibir tertarik naik
atau air mata yang terbit


Dia sebagai pemberi
dan aku hanya penerima yang pasrah.





Syiman Syareman
4 November 2012



 
 
 
 
 

Sunday, November 18, 2012

Komen Mengomen



1. Seiring dengan budaya romen-meromen dalam kalangan belia, mereka juga semakin ghairah untuk melakukan komen-mengomen dengan carutan dan makian di laman-laman sosial yang tersedia di Internet.

2. Biarkan dahulu isu romen-meromen dan biarlah Dato' Seri Najib Razak yang menerajui Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat memikirkan langkah yang perlu untuk mengatasinya. Apa yang lebih hangat adalah berkaitan penghakisan kesopanan dan moraliti dalam kalangan belia, yang mana terlalu dirasuk emosi negatif sehingga tergamak mengeluarkan kata-kata kesat di laman sosial terutamanya Facebook.

3. Kita memang ada hak untuk berbeza pendapat dan bersuara namun ia bukanlah tiket untuk menggunakan bahasa kasar yang kelak akan menjadi benih kebencian dalam kalangan masyarakat.

4. Apabila kita tidak puas hati, apa kata kita salurkan kegeraman terhadap golongan yang kita tidak setuju tindakannya itu melalui struktur ayat berunsur kritikan tajam yang mengekalkan gaya bahasa yang masih dalam klasifikasi sopan. Walaupun sopan, namun apabila disadur dengan hujah mapan dan struktur ayat yang betul, kata-kata kita akan mengalami transformasi menjadi pedang yang cukup tajam lantas menusuk-nusuk hati golongan sasaran dengan penuh efektif. 

5. Maka, tidak perlulah komen mengomen di Facebook dengan mencarut sebaliknya mengangkat salah satu Rukun Negara, kesopanan dan kesusilaan sebagai teras jati diri terpuji supaya direalisasi masyarakat madani yg hidup dengan harmoni. 



Wednesday, November 14, 2012

MD



1. MD adalah salah seorang alumni UTeM yang tidak berjaya dalam bidang yang dia minati malah sangat jelas kekecewaannya di tahun akhirnya tatkala menyedari peluang dia untuk menonjol sudah tertutup. 

2. Bagi saya, antara faktor penyumbang kepada mengapa terjadinya situasi demikian adalah kerana memandang remeh kepada perancangan dan latihan yang konsisten dan anggapan bahawa diri tidak perlu berlatih banyak kerana sudah hebat dan mahir. Sikap tidak kisah kepada teamwork dan terpengaruh dengan cara diktator juga antara falsafah yang dipegang MD.

3. Walau bagaimanapun, beberapa tahun selepas itu menyaksikan MD masih diberi peluang untuk menyinar iaitu secara individu, melalui acara pidato 1Malaysia. Tahniah atas kemenangan anda yang membawa pulang RM3,000, piala dan lain-lain. Nampaklah bahawa penganjur ingin memaparkan bahawa mereka ingin mempromosi perpaduan dengan memberi kemenangan kepada orang Sarawak, Cina dan India.

4. Teringat saya kepada perbualan telefon antara saya dengan MD pada suatu masa dulu. Saya mengulas dengan sinis namun sopan terhadap kata-kata dia yang saya tak setuju, dibalas oleh MD dengan suara nyaring. "Wow, marahnya dia", bisik hati saya sambil merasa situasi tersebut agak lucu kerana memikirkan bagaimana kata-kata dengan nada sopan saya boleh membuatkan dia begitu marah sampai menjerit-jerit dan terpekik-pekik. 

5. Akhirnya, lontaran vokal yang dipengaruhi emosi dalaman yang membara akibat kekecewaan pada masa lampau terbukti membantu MD ke arah menjuarai pidato itu.

6. Sekali lagi, saya ucapkan tahniah kepada MD. Harapan saya, status anda sebagai 'kakitangan sebuah syarikat cat' seperti yang dilaporkan Utusan Malaysia akan mendapat impak positif hasil daripada kemenangan itu malah mempengaruhi majikan menaikkan jawatan dan gaji. 



Polemik Polis 2


Saya bukanlah seorang yang anti-polis kerana saya tahu peranan mereka membanteras pesalahlaku undang-undang harus diberi pujian. Namun, kredibiliti polis di Malaysia saban hari semakin terjejas dek kerana ada segelintir anggota badan seragam tersebut yang melakukan salah guna kuasa dan secara sewenang-wenangnya mencabuli hak asasi orang awam. 

Spesies polis yang begini lah yang saya perangi. Kalau dibiarkan tanpa sistem pemantauan 
yang cekap dan efisien bagi mengekang salah guna kuasa polis, lambat laun institusi polis tidak lagi mendapat kepercayaan orang awam lantas mewujudkan suasana yang tidak kondunsif dalam negara.

Merujuk kepada N. Surendran, peguam hak asasi yang menganggotai Laws for Liberty, pertubuhan peguam yang prihatin terhadap revolusi perlindungan hak asasi di Malaysia, beliau 
risau terhadap perkembangan polis yang tidak mematuhi prosedur penahanan dan soal siasat sehingga bercambah banyak kes tahanan mati dalam lokap, tembakan yang menyebabkan kematian, dan penyeksaan terhadap tahanan.

Saya setuju kenyataan N. Surendran yang juga Naib Presiden PKR bahawa isu membabitkan polis bukanlah isu untuk meraih kepentingan politik, sebaliknya berkisar tentang kepentingan orang ramai membabitkan keselamatan termasuk membabitkan nyawa manusia. 


Polis mengaku menembak mati 263 orang dalam tempoh 10 tahun dengan bilangan tertinggi dicatat pada dua tahun terakhir bagi analisis ini – melebihi separuh dari keseluruhan kematian. Sembilan individu ditembak mati pada 2000, 2001 (lima), 2002 (27), 2003 (17), 2004 (13), 2005 (sembilan), 2007 (13), 2008 (82) dan 2009 (88).


Statistik itu berdasarkan kenyataan seorang pegawai polis Bukit Aman ketika memberi keterangan dalam satu prosiding mahkamah melibatkan kes hasutan.


Kes berkaitan A. Kugan yang mati dalam tahanan, Aminulrasyid Amzah, 15 yang ditembak mati hanya kerana dia memandu laju dan melarikan diri daripada polis, trio yang dilabel Geng Minyak oleh polis - iaitu Mohd Shamil Hafiz Shafie, 16, Mohd Khairul Nizam Tuah, 20, dan Mohd Hanafi Omar yang ditembak mati oleh polis yang mana menurut hasil bedah siasat mendapati mereka ditembak dalam keadaan sudah melutut di depan polis.


Merujuk kepada kenyataan Timbalan Menteri 1 Pulau Pinang, Mansur Othman, beliau mendesak diadakan siasatan berkaitan kes seorang tahanan warga Indonesia yang dipaksa melakukan seks dengan anggota polis sewaktu soal siasat, baru-baru ini.


Kes melibatkan dua polis daripada Cawangan Khas yang didapati bersalah oleh mahkamah meletupkan Altantuya juga menunjukkan ada kelompok polis di Malaysia yang cukup-cukup bermasalah dalam memahami prosedur yang sepatutnya mereka fahami dalam membanteras jenayah. Kuasa sebagai polis tidak boleh disamakan kuasa yang ada pada mahkamah. Hukum tidak boleh dijatuhkan selagi seseorang tidak dibuktikan bersalah di mahkamah. Polis hanya berperanan menangkap suspek dan melakukan soal siasat bagi mengumpul bukti. 


Saya harap institusi polis Malaysia yang kian tercemar ini dapat dipulihkan dengan

langkah-langkah yang perlu supaya polis sentiasa dihormati dengan cara yang sepatutnya. Antaranya ialah dengan penubuhan Suruhanjaya Bebas Menyiasat Salah Laku Polis (IPCMC) yang sampai sekarang masih menjadi tanda tanya. 





Tuesday, November 13, 2012

Ekspress Yourself



1. Saya agak setuju dengan 'undi adalah rahsia' namun saya sangat tidak setuju dengan 'politik tidak boleh dibincangkan secara umum' dan 'kenyataan bersifat politik tidak dibolehkan'.

2. Timbalan Menteri Pengajian Tinggi - Saifuddin Abdullah berkata bahawa golongan muda memandang sinis kepada politik kerana mereka beranggapan politik menjadi sangat kotor di Malaysia. 

3. Ya, saya setuju dengan situasi pencemaran politik di Malaysia namun siapa yang 
bertanggungjawab untuk membersihkan pencemaran ini jika tidak kita, termasuk generasi belia? 

4. Makanya, ekspresi politik tidak boleh diharamkan oleh mentaliti negatif terhadap politik. Masalah tidak akan selesai apabila kita lari daripadanya kerana selagi tidak ditangani, masalah itu akan terus mengejar walaupun kita lari sejauh mana pun. 

5. Kita menjadi sangat tidak bertanggungjawab kepada negara apabila kita membiarkan hanya politikus membincang tentang politik sebaliknya kita hanya berdiam diri tanpa memainkan peranan sebagai antara rakyat terbanyak untuk mencorak hala tuju negara.

6. Dengan itu, walau apapun sokongan dan pilihan anda; buatlah analisis yang adil, banyakkan pembacaaan dan mengkaji tentang mengapa suhu politik Malaysia dasawarsa ini sentiasa panas. Jangan beri sokongan secara membuta tuli sebaliknya biarlah pilihan anda itu benar2 layak untuk mendapat undi anda berdasarkan keyakinan yang disadur dengan ilmu dan hujah.







Monday, November 12, 2012

Tweet Tweet



1) Bukan sahaja kepada Mark Zuckerberg, namun kepada Jack Dorsey juga saya ucapkan terima kasih kerana mencetus fenomena yang mengubah budaya komuniti global. 

2) Saya gembira kerana Facebook dan Twitter bukan sahaja menjadi pencetus kepada
revolusi sosial malah pemangkin kepada revolusi demokrasi dan hak asasi di negara-negara yang tumpat dengan masalah korupsi dan penyelewengan dalam pentadbiran.

3) Namun, revolusi cetusan FB dan Twitter tidak membawa apa-apa makna jika mentaliti pengguna tidak seiring dengan misi dan visi pejuang demokrasi dan hak asasi yang berpaksi kepada moraliti. 

4) Makanya, marilah kita bertweet-tweet dengan tweet yang berkualiti di Twitter; satu lagi laman sosial yang punya originaliti dan konsep tersendiri berbanding FB.

5) FYI, pengguna aktif Twitter telah terjumlah sebanyak 500 juta orang memberi impak kepada analisis oleh Alexa menyenaraikan Twitter kedudukan ke 8 website paling
dikunjungi secara global.

6) Ini adalah Twitter saya - @SyimanSyareman. Feel free and happy to be my follower. 




Wednesday, November 7, 2012

Faktor Mengangkat Martabat



Samada ia dalam lingkungan persekitaran di pendidikan (sekolah & universiti), keluarga, perkhidmatan mahupun pentadbiran; berlaku situasi pengkelasan mengikut senioriti, mengetepikan prioriti berorientasi kualiti. Maksudnya, berlaku dominasi golongan tua terhadap golongan muda kerana falsafah pegangan turun-temurun golongan tua ini adalah martabat untuk mengangkat individu kena berdasarkan umur. Paling mengecewakan, dominasi golongan tua ini bukan berdasarkan bakat, tetapi muslihat. 

Maka berlakulah fahaman tidak sihat dalam kalangan golongan tua bahawa mereka berhak melakukan apa sahaja (seperti ada kuasa veto) terhadap golongan muda atas alasan mereka lebih banyak makan garam dan kononnya ingin mendidik orang muda cara-cara yang sepatutnya kalau nak berjaya dalam hidup. Mereka juga berfikiran mereka mesti dihormati walau apapun keadaan. Lebih teruk, mereka merendah-rendahkan pemikiran orang muda lantas tidak menghiraukan pandangan dan suara cetusan orang muda. 

Virus otak orang tua ini menularkan penyakit yang memberi kesan negatif dalam kehidupan bermasyarakat. Di universiti, pensyarah sewenang-wenangnya membatalkan kelas tanpa membuat makluman awal kepada pelajar. Pemandu bas, teksi dan agen pengangkutan awam yang lain melayan dengan tidak mesra malah ada yang kasar terhadap pengguna yang lebih muda. Seolah-olah bagi mereka, tidak penting untuk menjaga hati pengguna muda sebab mereka masih lagi muda sedangkan duit yang dibayar sebagai tambang itulah menjadi gaji buat mereka. 

Di rumah, para ibubapa yg ada virus otak orang tua ini langsung tidak memberi ruang utk anak2 memberi pandangan dan menjawab bagi pihak dirinya, tapi perlu menerima leteran secara bulat-bulat. Lubang untuk diskusi ditutup seketat-ketatnya. Lagilah jelas dalam sistem politik Malaysia, yang mana kaliber pemimpin dinilai secara hieraki ketuaan. Semakin tua seseorang, maka semakin layak lah dia diangkat. Orang muda kalau nak jawatan, maka tunggulah 20-30 tahun akan datang. Perkhidmatan awam pun mengamalkan hieraki serupa.

Saya ada teori mengapa orang tua melayan orang muda sedemikian rupa. Pada zaman muda mereka diisi dengan suasana peperangan dan penjajahan. Ekonomi mereka tidak stabil dan tiada sumber ilmu berkualiti yg boleh didapati menyebabkan mereka tiada kesedaran tentang hak asasi dan moraliti. Justeru, apabila mereka menjadi tua, 'dendam terhadap zaman muda' dilunaskan dengan mengasak orang muda skrg. Mereka berpendapat betapa perlunya orang muda skrg berasa susah
dan berasa tertindas seperti mana yang orang tua itu rasa pada zaman muda mereka. 

Peranan orang muda

Orang muda Malaysia tidak boleh menyerah dan pasrah dengan golongan yang ada 'virus otak orang tua', jika mereka ingin maju ke hadapan dan turut serta seiring dengan pencapaian orang muda di negara-negara maju. 


1) Jadikan membaca bahan2 berilmiah sebagai tabiat. Artikel berkualiti daripada internet mampu menajamkan pemikiran. Pemikiran tajam pula mampu menepis usaha2 penindasan dan pencabulan hak daripada golongan virus otak orang tua dan lain-lain golongan jahat.

2) Bezakan bahan yang berunsur fitnah dan carutan. Antara cara untuk mengenal pasti bahan tersebut merupakan fitnah adalah melihat kepada gaya bahasa yang digunakan penulisnya samada dia mencarut atau tidak. Jika anda berasa bahan itu fitnah, maka janganlah malas sebaliknya buat kajian. Senang sangat nak buat kajian pada era ini sebab ada internet.

3) Jadilah penganalisis yang adil dan melakukan timbang tara antara 2 pihak. Set minda kepada pemikiran yang terbuka kerana jika minda ditutup, anda akan berada dalam situasi rigid; tidak maju ke hadapan dalam menghadapi persaingan.

4) Jangan jadikan dadah mahupun kegiatan tidak sihat yg lain sebagai escapism kepada tekanan

5) Ketahui dan fahami hak asasi anda dan peraturan universal yang tertakluk kepada semua. Orang yang ada kuasa, orang tua tidak boleh sewenang-wenangnya bertindak sesuka hati mengikut peraturan rekaan mereka sendiri.

6) Miliki keyakinan diri setelah menguasai ilmu lantas berani untuk menghadapi anasir
tidak sihat. Tidak perlu takut untuk bersuara. Tidak perlu takut untuk berbeza pendapat dengan orang lain. 

7) Moraliti dan integriti harus sentiasa menjadi pegangan. Anda harus sedar bahawa perbuatan jahat tidak akan membawa anda ke mana-mana dan hanya bagi kegembiraan jangka masa pendek.

8) Menolak dengan tegas kepimpinan orang tua yang ada virus otak ini dengan menggantikannya samada oleh orang muda ataupun orang tua yang tiada virus otak.

Semoga Malaysia menjadi lebih baik daripada apa yang kita lihat sekarang. Semoga golongan muda kembali mendominasi hala tuju Malaysia melalui jati diri yang mementingkan moraliti dan integriti. Amin. 







Polemik Abang-Abang



Tidak cukup dengan Polemik Polis yang baru dilancarkan di blog ini, maka amat wajarlah diadakan kesinambungan jenama Polemik kepada Polemik Abang-Abang pula. Inspirasi kepada cetusan adalah kerana melihat banyak sangat abang-abang di luar sana yang tidak mempunyai kualiti bentuk badan yang baik lantas mencalarkan sedikit sebanyak imej abang-abang keluaran Malaysia. 

Sepatutnya, setiap abang tidak boleh malas dalam berusaha secara istiqamah untuk membentuk badan yang menarik dan mengikut piawaian global. Di bawah ditunjukkan contoh pembentukan badan yang menarik yang diiktiraf oleh komuniti antarabangsa dan didamba oleh abang-abang seantero dunia.




Perlu diingatkan bahawa klasifikasi kepada bentuk badan yang menarik oleh abang-abang harus difahami dengan jelas. Abang perlu membezakan dengan baik mana satu jenis badan yang kini hangat di pasaran. Arguably, jenis badan abang yang sentiasa menjadi perhatian adalah jenis Ottermode dan Athtelic. 

Malangnya, panaroma dalam kalangan abang-abang di Malaysia menyaksikan mereka tidak bersungguh-sungguh dalam membentuk badan yang mengikut trend kehangatan pasaran. Boleh difahami jika kalangan berpendapatan rendah dan sederhana yang menunjukkan sikap demikian tetapi abang-abang dalam kalangan elit pun dua kali lima. 

Baru2 ini saya sempat melihat anak Menteri Di Jabatan Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Nazri Aziz; yang bernama Nedim Nazri; shirtless di tepi kolam renang. Tidak mempunyai bentuk pun. Hanya perut yang mendatar. Maka, saya pun buat satu rumusan bahawa jika anak seorang Menteri pun tidak berusaha untuk membentuk badan menarik, apatah lagi anak kepada yang bukan Menteri. Dalam kalangan aktor pun sama. Ternyata pembentukan polemik kepada ramai yang tidak mempunyai badan menarik dalam kalangan abang-abang adalah kerana mereka malas.

Ada beberapa kebaikan jika abang-abang mulai sedar akan kepentingan memiliki badan yang menarik yang mengikut piawaian global:


1) Semakin ramai model lelaki Malaysia yang diterima masuk dalam agensi pengurusan model antarabangsa seperti Fords Management lantas akan ada wakil dari Malaysia yang berpotensi menjadi model seluar dalam Calvin Klein mahupun di pentas runway fashion terkenal seperti Gucci, Prada dan Louis Vuitton.

2) Menggalakkan industri pelancongan kerana pelancong suka untuk melihat panorama menarik yang ditonjolkan oleh abang-abang.


3) Kemeriahan di pantai seantero negara akan semakin menjadi-jadi lantas mengaktifkan kembali suasana pantai di Malaysia yang semakin suram dan kurang aktiviti.


4) Stress dalam kalangan wanita dan adik-adik akan semakin berkurangan lantas gejala bunuh diri dan sakit mental dalam kalangan mereka dapat ditangani.


5) Industri perfileman, fashion, TV dan lain-lain yang melibatkan visual akan berkembang pesat dek kerana penggiatnya menjadi 'eye candy' kepada masyarakat. Dengan itu, mampu menyumbang dengan besar kepada KDNK negara lantas ekonomi negara bertambah baik.



Samada anda adalah abang-abang dalam kalangan Melayu, Cina, India, Sabahan mahupun Sarawaky, semua harus konsisten dalam membentuk badan yang menarik mengikut cita rasa dan cara masing-masing. Boleh berkunjung ke gym dan mendapatkan coach mahupun melakukan senaman efektif di rumah. Majulah abang-abang untuk negara.










Thursday, November 1, 2012

Syiman Syareman's Top 10 Pemimpin Berpengaruh Malaysia



1. Anwar Ibrahim




Datuk Seri Anwar Ibrahim atau nama singkatan popularnya; DSAI yang memperjuangkan agenda reformasi telah menyemarakkan semangat rakyat Malaysia yang ingin melihat satu perubahan dalam kebobrokan peristiwa dan isu dalam negara. Menghadapi 2 kes liwat di Mahkamah namun masih mendapat sokongan ramai rakyat dgn menjadi salah satu faktor dalam tsunami politik 2008 dan memenangi kerusi Parlimen Permatang Pauh dengan majoriti yg sangat besar. Juga mendapat sokongan pemimpin seangkatan dengan dilantik sebagai Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat dan Penasihat Ekonomi negeri Selangor. Media arus perdana seperti Utusan Malaysia, News Straight Times, Berita Harian, TV3 (yg digelar Anwar; Utusan Meloya, TV3suku, dan Berita Hairan) kelihatan jelas berusaha untuk menghentikan langkah Anwar namun beliau terus giat berceramah di serata negara dgn membawa mesej reformasi. Tidak pernah pembangkang di Malaysia sekuat seperti sekarang sejak Anwar menjadi teraju. Juga, tidak pernah perpaduan antara parti dalam kalangan pembangkang erat seperti sekarang. Pemimpin pertama di rantau ini yang menggunakan Google Hangout untuk berinteraksi dengan orang ramai dengan tag #BorakAnwar dan mendapat sambutan yang menggalakkan. Mengheret ramai pihak ke mahkamah melalui banyak saman yang difailkan termasuk terhadap Tan Sri Muhyiddin Yasin, Khairy Jamaluddin, Dr.M, S. Nallakurapan dan lain-lain demi membuktikan beliau difitnah. Disaman oleh bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan namun Musa menarik balik samannya. Setakat ini dalam kes saman beliau, telah menang saman terhadap S. Nallakurapan berhubung isu RM60juta yang dikatakan Nalla telah diberi kepada Anwar. Bkn sahaja secara domestik, perhatian antarabangsa berjaya diraih Anwar hingga terlibat dalam wawancara bersama Julian Assange, tokoh pejuang simbolik dan juga pengasas WikiLeaks. Antara mesej Anwar yang mengundang perhatian adalah perjuangan politik yang tidak bersifat partisan. Berdasarkan data tersenarai, maka jelas bahawa Anwar sememangnya layak berada di kedudukan pertama dalam ranking Top 10 pemimpin berpengaruh di Malaysia. 


2. Mahathir Mohammad




Sebagai bekas Perdana Menteri Malaysia yang diulit pelbagai kontroversi sewaktu zaman pentadbirannya sehingga dilabel secara konsensus sebagai diktaktor, adalah mengagumkan dalam melihat kemampuan Tun Dr. M di usia era 80 menghampiri 90; menepis isu demi isu dengan kelicikan berhujah lantas mengekalkan populariti walaupun sudah hampir 10 tahun meletakkan jawatan no. 1 negara. Buku Dr in The 
House menerjah pasaran buku dengan sambutan hebat walaupun translasi dalam Bahasa Melayu berjudul Doktor Umum lewat diterbitkan. Terkenal melalui kritikan dan tohmahan pedih di blog Che Det terhadap Tun Abdullah (Pak Lah) dan menjadi antara faktor peletakan jawatan Pak Lah sebagai PM. Walaupun sudah bersara, namun masih lagi aktif dalam persada politik Malaysia dengan penglibatannya dalam pelbagai isu termasuk pemansuhan PPSMI, tuduhan beliau terhadap George Soros, dan kritikan terhadap Nik Aziz dan Anwar Ibrahim. 



3. Najib Razak



Datuk Seri Najib Razak adalah Perdana Menteri Malaysia yang berdepan dengan situasi yang cukup mencabar iaitu di zaman kemelesetan ekonomi dan era pembangkang yang kekuatannya menafikan majoriti dua pertiga Barisan Nasional di Dewan Rakyat. Datang dengan konsep bijak di hari-hari awalnya sebagai Perdana Menteri dengan memperkenalkan gagasan 1 Malaysia dan agenda transformasi dengan slogan 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan'. Kini, dengan konsep 'Janji Ditepati'. Dari segi kuantiti, ramai pengikut beliau di laman sosial seperti Facebook dan Twitter. Menjadi pemimpin kedua di rantau Asia Tenggara selepas Anwar Ibrahim yang menggunakan Google Hangout dengan tag #TanyaNajib untuk menjawab pelbagai soalan orang ramai berkaitan Bajet 2012. Pengaruh Najib juga mendapat tempias daripada isteri beliau, Rosmah Mansur yang sangat popular dalam kalangan rakyat akibat penglibatannya dalam berjuang untuk pendidikan kanak-kanak hingga ditubuhkan satu jabatan kerajaan yang baru dan diterajui oleh Rosmah. Merombak beberapa akta yang dikatakan tidak relevan seperti ISA dengan akta gantian. Dikatakan sebagai pemimpin yang bakal mengembalikan kemenangan besar Barisan Nasional, adakah strategi melewat-lewatkan PRU 13 bakal memberi impak positif kepada beliau? Adakah tembok pertahanan yang dibina di zaman pentadbirannya mampu bertahan daripada gelombang tsunami pembangkang tsunami pimpinan Anwar Ibrahim yang khabarnya lebih besar daripada gelombang pada 2008? Adakah palitan kontroversi berkaitan pembunuhan Altantuya dan pembelian kapal selam Scorpene telah dilupakan rakyat setelah diberi penjelasan oleh beliau? Adakah anak seorang bekas Perdana Menteri ke-2 Malaysia ini akan menjadi penamat kepada legasi Barisan Nasional sebagai kerajaan Persekutuan? Sejauh mana gagasan 1 Malaysia dan agenda transformasi Najib akan membawa Malaysia
ke negara yang lebih baik dan mengembalikan sokongan rakyat kepada BN?
Persoalan2 inilah yang menjadikan Najib Razak memiliki sensasi hingga boleh ditabalkan pemimpin ketiga paling berpengaruh di carta ini. 


4. Ambiga



Datuk S. Ambiga adalah ikon kepada pejuang yang mempercayai demonstrasi sebagai satu cara efektif dalam memastikan pihak berkuasa mendengar suara oleh rakyat terbanyak. Mengetuai demonstrasi oleh para peguam dalam isu krisis kehakiman melibatkan pembocoran video klip VK Lingam yang berbual tentang pemilihan hakim yang boleh diatur; hingga menyebabkan Pak Lah, PM pada waktu
itu membuat rombakan dalam sistem kehakiman negara. Tidak berhenti di situ, sekali lagi peranan Ambiga sebagai ketua kepada para pejuang demonstrasi diiktiraf melalui penganjuran BERSIH yang setakat ini sudah berlangsung sebanyak 3 siri bagi menuntut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat beberapa rombakan penting demi memastikan pilihanraya berlansung secara adil dan telus. Setiap siri demonstrasi BERSIH berjaya meraih penglibatan hebat drpd orang ramai malah menjadi manifestasi kepada perpaduan masyarakat berbilang bangsa. BERSIH 3.0 berjaya di mahkamah dengan mengenepikan kenyataan Menteri Dalam Negeri, 
Datuk Seri Hishamuddin HUssein Onn yang mengatakan BERSIH 3.0 adalah gabungan haram. Diiktiraf di peringkat antarabangsa, Ambiga diberi penghormatan mengadakan pertemuan dengan Hillary Clinton dan Michelle Obama. Menafikan BERSIH sebagai sebuah organisasi politik sebaliknya berjuang demi kemaslahatan masyarakat, sesungguhnya beliau adalah bekas Presiden Majlis Peguam Negara yang mempunyai semangat perjuangan membara dan memainkan peranan yang kekal
signifikan walaupun tidak lagi menjadi Presiden. Boleh dikatakan juga beliau menjadi 
pemangkin kepada Himpunan Hijau (demonstrasi anti Lynas) dan Himpunan Oren (demonstrasi oleh ANAK, generasi anak peneroka FELDA). Kalaulah ada title Malaysian Woman of The Year, Ambiga harus ternobat bagi tahun 2012. 



5. Lim Guan Eng



Siri perdebatan Lim Guan Eng dengan Chua Soi Lek berlangsung dengan kesannya menaikkan populariti Guan Eng dalam kalangan komuniti. Merupakan Ketua Menteri Pulau Pinang yang berjaya membawa Pulau Pinang sebagai negeri penyumbang terbesar kepada ekonomi negara melalui pembayaran hasil dalam negeri. Menang saman fitnah dua kali terhadap Utusan Malaysia. Diiktiraf sebagai pemimpin yang berkapasiti besar hingga diberi kepercayaan oleh Presiden DAP, Karpal Singh untuk bertanding bagi 2 kerusi iaitu ADUN dan Parlimen dalam PRU 13. Menjadi antara pemimpin yang ditahan di bawah ISA dalam Operasi Lalang 1987, kini Lim Guan Eng merupakan antara pemimpin berkaliber di Malaysia yang terkenal dengan sifatnya yang membuka ruang kritikan secara luas kepada sesiapa yang ingin mengkritik.
Terkenal juga dengan sifatnya yang lantang mengkritik polisi Barisan Nasional dalam mentadbir negara. Saya tertarik dengan penguasaan Bahasa Melayu Guan Eng sewaktu menyaksikan perdebatan beliau dengan Soi Lek. Dengan itu, Lim Guan Eng adalah ke-5 dalam senarai ini. 


6. Rafizi Ramli



Rafizi Ramli adalah antara tunjang dalam pembongkaran skandal NFC melibatkan penyelewengan dana awam berjumlah RM250juta. Malah taktiknya melalui paparan dokumen2 transaksi dan teknikal turut mengheret Najib Razak dalam isu penganugerahan projek pengangkutan transit aliran ringan kepada George Kent yang mana menurut Rafizi, paparan dokumen menunjukkan George Kent bukanlah pembida projek yang terbaik, malah tercorot. Antara impak dek sikap pembongkaran secara agresif oleh Rafizi ini telah menyebabkan Shahrizat Jalil meletak jawatan sebagai Menteri Wanita dan Keluarga, malah timbul desakan supaya Shahrizat meletak jawatan sekali lagi, kali ini sebagai Ketua Wanita UMNO. Sebagai Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli berperanan besar dalam menyediakan rangka Belanjawan Bayangan Pakatan Rakyat 2012 dan pengenalan idea berkaitan penurunan harga kereta. Antara pengasas NOW, pertubuhan yang menggalakkan orang ramai bersikap berani bersuara dlm menyuarakan pandangan. Bekas akauntan di Petronas dan
lulusan graduan universiti luar negara, debat beliau dengan Khairy Jamaluddin menunjukkan bahawa Rafizi adalah antara pemimpin harapan negara yang bakal membawa masa depan bermakna
buat Malaysia. 


7. Khalid Ibrahim



Walaupun diasak oleh kerajaan persekutuan berkaitan isu air dan mahukan projek Langat 2 dibina dengan segera, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, terus konsisten dalam pendiriannya yang mahukan alternatif yang lebih baik untuk rakyat negeri Selangor. Kenyataan Kerajaan Persekutuan yang mahu membina Langat 2 walau apapun pendirian kerajaan negeri Selangor dibalas oleh Khalid, "Jika Kerajaan Persekutuan boleh tidak menghiraukan kerajaan negeri, maka kerajaan negeri pun boleh tidak menghiraukan Kerajaan Persekutuan". Meluncurkan buku best seller bertajuk 'From Kampung Boy to CEO' yang antara kandungannya menceritakan pengalaman beliau yang berperanan sebagai eksekutif besar di Permodalan
Nasional Berhad (PNB) hingga menjadi mercu ekonomi Malaysia seperti dilihat sekarang.


8. Khairy Jamaluddin



Layak digelar sebagai Raja Debat Malaysia 2012, Khairy sangat popular dengan siri debatnya bersama beberapa tokoh terkemuka seperti Ambiga, Rafizi Ramli dan Husam Musa. Walaupun termasuk dalam jentera kerajaan yang dihempap badai politik namun masih mampu bertahan sebagai Ketua Pemuda UMNO. Mempunyai pengaruh yang agak besar dalam kalangan generasi belia melalui aktiviti beliau yang cuba sedaya upaya menganjurkan program berorientasi orang muda. 


9. Nik Aziz



Tok Guru Datuk Nik Aziz yang telah berkecimpung dalam politik lebih 40 tahun terus relevan dalam mencorakkan hala tuju PAS. Bersikap rendah diri namun mendapat perhatian meluas daripada media yang seringkali mengulas dan meminta kenyataan Nik Aziz berkaitan pelbagai isu. Blog cetusan beliau berjudul 'Dari Sudut Perspektif Tok Guru' berjaya meraih sokongan diikuti pengikut di Facebook yang berjumlah sekitar 700,000 orang. Bertahan sebagai Menteri Besar Kelantan selama beberapa penggal malah timbul pula kenyataan "Selagi Nik Aziz di Kelantan, selagi itulah PAS akan terus menerajui". 


10. Karpal Singh



Team guaman pimpinan Karpal Singh adalah sangat hebat hingga berjaya membuktikan Anwar Ibrahim tidak bersalah dalam kes Liwat 2. Kredit harus diberi kepada Karpal Singh kerana sedikit sebanyak telah memberi inspirasi kepada para peguam yang kini mempunyai reputasi tinggi seperti N. Surendran dan Latheefa Koya. Kenyataan beliau kerap kali disensasi di media lantas mengundang perhatian masyarakat. Sebagai Presiden DAP, peranan beliau sangat besar hingga menjadikan DAP menguasai Pulau Pinang dan bandar-bandar besar negara seperti Seremban dan Kuching; menunjukkan masyarakat kota memberi sokongan hebat kepada perjuangan dan konsep DAP. 


Polemik Polis



Sepertimana setiap perkara diciptakan berpasangan, maka begitulah juga dengan karakter yang ada pada polis; iaitu 'polis baik/good cop' dan 'polis jahat/bad cop'. Kebobrokan yang melanda anggota polis adalah akibat pemahaman mereka yang rendah terhadap batas kuasa mereka dan hak asasi setiap individu. 

Baru-baru ini saya telah mengalami sendiri situasi berhadapan dengan bad cop. Bukan saya yang ditangkap tetapi seorang kenalan saya. Situasinya begini. Sewaktu saya dibuai mimpi menikmati tidur pada pukul 4am, tiba2 tingkap bilik saya diketuk dengan gelabah, begitu juga dengan pintu rumah. Saya jadi agak gementar dan berasa tidak selamat lantas berfikir - 'Siapa samseng yang datang rumah pukul 4am nie?' Rupa-rupanya seorang inspektor polis dan konco-konconya (dalam lingkungan 4-5 orang).

Inspektor tu cakap yang dia nak tangkap kawan saya sebab dia disyaki terlibat dalam 
satu kegiatan tidak bermanfaat. Saya yang prihatin terhadap hak asasi setiap individu
dan batas-batas kuasa polis bertanyalah, "Ada apa-apa dokumen tak?". Inspektor itu 
menunjukkan kad polisnya. Namanya Inspektor Shahril yang bertugas di Balai Polis Guar Chempedak. Sebenarnya, apa yang dimaksudkan oleh saya tentang 'dokumen' itu adalah berkaitan bukti yang menunjukkan kenalan saya itu benar2 terlibat dalam kegiatan tidak bermanfaat itu. 

Saya cuba untuk mendesak inspektor dan kawan2nya itu untuk menunjukkan bukti namun dihalang oleh bapa kenalan saya, malah menyuruh saya pula masuk bilik dan jangan masuk campur. Saya tahu dia takut silap-silap saya akan ditangkap sekali oleh inspektor itu. Inspektor Shahril pula mempersoalkan saya dengan nada yang agak keras, "HAAIIIII.......PERLU KE NAK TUNJUK???". Ringkasnya, selepas beberapa minit berlalu, kenalan saya itu pun dibawa ke lokap. Inspektor itu cakap mereka akan menghubungi keluarga kenalan saya itu untuk apa-apa perkembangan lanjut.

Selepas kejadian ini, emosi saya agak terganggu kerana saya sangat tidak bersetuju dengan CARA inspektor itu menangkap suspek, dan juga tidak bersetuju dengan cara bapa kenalan saya itu berhadapan dengan situasi itu. Saya berpandangan bahawa HAK ASASI SETIAP INDIVIDU tidak boleh dicabul dan SALAH GUNA KUASA POLIS perlu dibanteras:

1) Bagi tangkapan tanpa waran, polis tidak boleh sesuka hati masuk rumah orang. Ia        boleh dikategorikan sebagai menceroboh premis. Sikap Inspektor Shahril sangat mengecewakan. Sudahla tak ada waran, datang pulak pukul 4am, dan bernada kasar terhadap penghuni dalam rumah. Sangat persis samseng yang tidak menggambarkan dia sebagai polis berkualiti.

2) Polis tidak boleh sesuka hati membuat tangkapan hanya berdasarkan cakap mulut dan tidak ada bukti untuk menyokong tangkapan yang ingin dibuatnya.


Pada pukul 10am, saya ke Balai Polis Guar Chempedak dan mempersoal pelbagai perkara kepada anggota polis yang bertugas di kaunter. Dia kelihatan terkesima dengan soalan2 saya. Padan muka dia. Golongan yang melayan orang lain dengan tidak baik harus juga dilayan dengan tidak baik. 

Sesungguhnya, imej dan reputasi PDRM saban hari semakin teruk akibat sikap sambil lewa dan tidak peduli terhadap kepentingan rakyat terbanyak. Ego akibat memiliki kuasa sebagai anggota polis tidak boleh melangkaui daripada sempadan antara kuasa dan hak asasi.

Paparan media melaporkan ada sahaja perangai polis yang menggoncang tiang moraliti. Tidak hairanlah semakin banyak kes mahkamah tidak menyebelahi mereka. 

Bermula dari bulan November ini, saya akan cuba secara konsisten dalam membangkitkan isu2 polis yang mencabar dan merendah-rendahkan kemampuan rakyat terbanyak lantas bertindak melebihi paras kuasa yang ditetapkan kepada mereka. 

Selamat menganalisis Polemik Polis.