Wednesday, November 14, 2012

Polemik Polis 2


Saya bukanlah seorang yang anti-polis kerana saya tahu peranan mereka membanteras pesalahlaku undang-undang harus diberi pujian. Namun, kredibiliti polis di Malaysia saban hari semakin terjejas dek kerana ada segelintir anggota badan seragam tersebut yang melakukan salah guna kuasa dan secara sewenang-wenangnya mencabuli hak asasi orang awam. 

Spesies polis yang begini lah yang saya perangi. Kalau dibiarkan tanpa sistem pemantauan 
yang cekap dan efisien bagi mengekang salah guna kuasa polis, lambat laun institusi polis tidak lagi mendapat kepercayaan orang awam lantas mewujudkan suasana yang tidak kondunsif dalam negara.

Merujuk kepada N. Surendran, peguam hak asasi yang menganggotai Laws for Liberty, pertubuhan peguam yang prihatin terhadap revolusi perlindungan hak asasi di Malaysia, beliau 
risau terhadap perkembangan polis yang tidak mematuhi prosedur penahanan dan soal siasat sehingga bercambah banyak kes tahanan mati dalam lokap, tembakan yang menyebabkan kematian, dan penyeksaan terhadap tahanan.

Saya setuju kenyataan N. Surendran yang juga Naib Presiden PKR bahawa isu membabitkan polis bukanlah isu untuk meraih kepentingan politik, sebaliknya berkisar tentang kepentingan orang ramai membabitkan keselamatan termasuk membabitkan nyawa manusia. 


Polis mengaku menembak mati 263 orang dalam tempoh 10 tahun dengan bilangan tertinggi dicatat pada dua tahun terakhir bagi analisis ini – melebihi separuh dari keseluruhan kematian. Sembilan individu ditembak mati pada 2000, 2001 (lima), 2002 (27), 2003 (17), 2004 (13), 2005 (sembilan), 2007 (13), 2008 (82) dan 2009 (88).


Statistik itu berdasarkan kenyataan seorang pegawai polis Bukit Aman ketika memberi keterangan dalam satu prosiding mahkamah melibatkan kes hasutan.


Kes berkaitan A. Kugan yang mati dalam tahanan, Aminulrasyid Amzah, 15 yang ditembak mati hanya kerana dia memandu laju dan melarikan diri daripada polis, trio yang dilabel Geng Minyak oleh polis - iaitu Mohd Shamil Hafiz Shafie, 16, Mohd Khairul Nizam Tuah, 20, dan Mohd Hanafi Omar yang ditembak mati oleh polis yang mana menurut hasil bedah siasat mendapati mereka ditembak dalam keadaan sudah melutut di depan polis.


Merujuk kepada kenyataan Timbalan Menteri 1 Pulau Pinang, Mansur Othman, beliau mendesak diadakan siasatan berkaitan kes seorang tahanan warga Indonesia yang dipaksa melakukan seks dengan anggota polis sewaktu soal siasat, baru-baru ini.


Kes melibatkan dua polis daripada Cawangan Khas yang didapati bersalah oleh mahkamah meletupkan Altantuya juga menunjukkan ada kelompok polis di Malaysia yang cukup-cukup bermasalah dalam memahami prosedur yang sepatutnya mereka fahami dalam membanteras jenayah. Kuasa sebagai polis tidak boleh disamakan kuasa yang ada pada mahkamah. Hukum tidak boleh dijatuhkan selagi seseorang tidak dibuktikan bersalah di mahkamah. Polis hanya berperanan menangkap suspek dan melakukan soal siasat bagi mengumpul bukti. 


Saya harap institusi polis Malaysia yang kian tercemar ini dapat dipulihkan dengan

langkah-langkah yang perlu supaya polis sentiasa dihormati dengan cara yang sepatutnya. Antaranya ialah dengan penubuhan Suruhanjaya Bebas Menyiasat Salah Laku Polis (IPCMC) yang sampai sekarang masih menjadi tanda tanya. 





No comments:

Post a Comment