Saturday, January 12, 2013

A. Samad Said dan puisi beliau


Saya suka kepada puisi kerana ia menggambarkan satu-satu situasi secara halus dan melalui kreativiti penggunaan bahasa. Pemuisi yang saya suka pula adalah tidak lain dan tidak bukan A. Samad Said kerana beliau bukan sahaja telah diiktiraf sebagai Sasterawan Negara, malah melalui pengamatan saya terhadap puisi beliau, saya dapati puisinya mengcengkam hingga ke lubuk hati. Yang menariknya juga tentang A. Samad Said ialah beliau tidak takut untuk bersuara malah dengan penuh lantang mengkritik beberapa pemimpin melalui karya puisi beliau.

Maka di sini saya ingin merakamkan kembali puisi beliau yang tertulis dalam buku A.Samad Said: Sebuah antologi puisi yang menghimpunkan karya-karya selama lebih setengah abad/ penyusun Dharmawijaya.


Kenangan Mesra 
(Liar Di Api 1960)

Teringatkah dikau tangga tinggi yang kita naiki
Menghambat nafas manjamu seiring senyuman abadi?
"Penatlah sayang," katamu dan tangan kita berpadu,
betapa didedakannya jantungku yang kaudebarkan sejak dahulu.

Bulan tanduk berlabuh tenang dan indah senyumannya,
Cahayanya samar mengusik mesra debar di dada kita.
Dan setiap pandangku terpeluk erat pada manis wajahmu
tahukah dikau, sayang, ia begitu meresap dan mengharu?

"Hidungmu kugigit, ya, tanganmu juga," pintaku.
Nafasmu yang berkocak kurasakan riak sebaknya.
"Kau marah, manis, atau membenarkan," tambahku.
Darimu gerak kening dan sinar mata mengizinkannya.

Teringatkah dikau mi yang dimakan, air diminum?
Betapa mesra ketawamu dan keriangan berpesta di rongga
dan sampul surat yang kuhulurkan mengusik kalbumu
akan terukir indah dalam sejarah kemesraan kita.

Kisah ini tidak akan ada tasik kemaraunya, adinda.
Kau tahu betapa dahaga rindu yang bersenda-senda terpisah
dan kalau yang kupinta, terasa jauh sekali dendamnya;
usahlah dimarah, dik, sebab kupinta pada yang kucinta.

Kuala Lumpur
November 1959

Mencungap
(Fikiran Rakyat 26 April 1957)

Sampai juga ia ke gadisnya,
leher dan dada haus diciumi.
Malam dan bulan menggigil sama
merasakan ciumannya yang panjang sekali.

Malam ini malam kekasih
kerinduan dilepaskan hingga jernih
(tercungap segala).

Kuala Lumpur
April 1957

Dalam Library
(Benih Harapan 1973)

Dalam library
aku tersengguk.
Seorang tua
tersenyum menegur:
tak guna
membuka buku
menutup mata.
Kan elok
menutup buku
membuka mata?

Mulai esoknya
dalam library
ku tak pernah
tersengguk lagi
walau orang tua
sudah lama
tiada kusua.

Dalam library
kini kumembaca,
mataku sering
ke kerusi orang tua
yang sudah tiada.

Kebenaran
(Benih Harapan 1973)

Setiap yang benar
betapa ditekan
tetap menjalar,
tanpa dibaja,
kan tetap mekar,
tanpa udara pun
kan tetap segar.

Nikmat
(Benih Harapan 1973)

Segala yang dihasrat
tapi tak didapat
adalah nikmat
yang paling padat





No comments:

Post a Comment