Tuesday, April 2, 2013

Syiman's Review : Jangan Bersedih



Alhamdulillah dengan limpah kurniaNya saya akhirnya berjaya mengkhatamkan buku Jangan Bersedih karangan Dr. Aidh bin Abdullah Al-Qarni; diterjemah oleh Noraine Abu ke dalam Bahasa Malaysia.

Dr. Aidh telah berjaya menghujankan hujah yang bernas lagi tuntas, menyebabkan kebasahan yang menyejukkan jiwa sesiapa yang membaca. Hujan hujah yang dicurah melalui 281 tajuk topik ini sangat mendatangkan kesan mendalam kerana dipersembah dengan selitan ayat Al-Quran dan hadis yang berkaitan.

Ada kawan saya mengulas bahawa beberapa tajuk topik yang sebanyak 281 itu mengulang isu yang sama, lantas bagi beliau buku ini agak membosankan. Makanya, saya rasa buku ini adalah ideal lagi esential bagi orang yang mahu diperingatkan secara konsisten dan gembira untuk menelaah ayat-ayat Al-Quran.

Bagi sesiapa yang bersedih, buku ini akan bertindak sebagai peneman yang memujuk anda supaya jangan difikirkan perkara lampau, jadilah diri sendiri, anggaplah kutukan dan kritikan sebagai penghormatan, jangan masukkan setiap peristiwa ke dalam hati, pengdengki lebih rendah daripada yang didengki, hakikat dunia yang sebenar dan banyak lagi.

Kredit kepada Dr. Aidh, elemen materialistik dan obses dalam jiwa saya telah mengalami penghakisan yang cukup ketara. Semakin positif pada kehidupan, sikap suka membaca dan mengejar ilmu jadi berkobar-kobar.

Jika anda dalam kesedihan, keserabutan, tercari-cari matlamat hidup, diulit dilema, maka Jangan Bersedih adalah buku yang sangat perlu anda teroka.




No comments:

Post a Comment