Friday, November 15, 2013

Menjadi seorang Pemikir


Apabila minda dibiarkan menerawang tanpa ada pengisian jitu, maka apa yang akan terjadi adalah masalah mental yang kian menggusarkan. Stres sudah jadi tidak terkawal lalu mula untuk mendapatkan khidmat pakar psikiatri atau masuk ke hospital sakit jiwa. Aktiviti negatif dilakukan secara aktif kerana sudah tiada penimbangan akal melalui dacing baik dan buruk. Stres yang mulanya kecil mula bercambah menjadi barah yang sudah parah untuk dirawat. Apabila sudah tua, jadi nyanyuk.

Semua ini berlaku kerana dari awal kita tidak mahu memilih untuk menjadi pemikir.

Dengan itu, marilah kita menjadi pemikir yang sentiasa mengisi minda dengan ilmu. Tiada kaedah yang lebih efektif untuk mendapatkan ilmu melainkan dengan membaca. Banyak buku di mph, Borders mahupun Popular untuk anda beli. Jika tak mau beli, maka boleh melawat mana-mana perpustakaan awam untuk lepak di situ.

Pemikir adalah manusia yang sentiasa menimbang nilai bagi setiap perkara; samada baik atau buruk. Adakah dengan mengambil dadah akan menyebabkan keadaan aku jadi lebih baik daripada segi jangka masa panjang? Adakah dengan mengumpat daripada belakang akan menjadikan aku menjadi orang yang lebih baik daripada orang yang diumpat itu? Adakah aku sanggup merokok berbatang-batang rokok setiap hari hanya untuk kelihatan macho sedangkan riwayat hidup semakin berkurang hari demi hari? Adakah UMNgOk masih relevan dan signifikan untuk kemajuan Malaysia? Adakah dengan menjadi Famous for Being Famous di Facebook, Twitter dan Instagram memberi pulangan ekonomi kepada aku? Apakah itu demokrasi dan kebebasan media? Apakah fungsi utama aku hidup di muka Bumi ini?

Pemikir sentiasa merangka strategi dan plan samada untuk jangka masa pendek dan panjang. Mereka tidak akan terpedaya dengan helah golongan yang bermuslihat seperti skim cepat kaya dan hujah murahan yang membodohkan orang lain.

Tidak susah untuk menjadi seorang pemikir yang berkualiti. Selain daripada membaca, gunalah waktu bersendiri untuk merenung hikmah sesuatu keadaan. Keseimbangan fizikal, mental, spiritual dan sosial diatur melalui perancangan yang konsisten.


Kita semua mempunyai pilihan. Apa pilihan anda? Mahu menjadi pemikir atau penerawang? Apakah sebabnya?


No comments:

Post a Comment