Wednesday, August 20, 2014

Anjing


Pengenalan peristiwa

Apa yang saya nampak petang tadi adalah kekejaman terhadap anjing. Seramai 15 budak dalam lingkungan Darjah 1-Tingkatan 2 berkerjasama mengikat seekor anjing dengan tali di kaki lalu mengheret anjing itu di jalan taman perumahan yang bertar. Kejadian mengheret berlaku kerana mereka ingin menangkap anjing tersebut namun, anjing itu tidak mahu masuk ke dalam tong sampah yang mereka sediakan. Mereka pula mengalami kesukaran kerana tidak berani menyentuh anjing tersebut dengan tapak tangan (disebabkan najis mukhallazah). 

Anjing yang ketakutan itu cuba untuk melarikan diri namun tidak berkemampuan berbuat demikian kerana kakinya telah diikat. Maka, apa yang mampu anjing tersebut lakukan adalah dengan menjerit-jerit (menyalak sayu) meminta tolong sewaktu diseret oleh budak yang menarik tali yang mengikat kakinya. 

Saya sebagai saksi kejadian itu mula gusar dengan kekejaman yang ditunjukkan oleh gerombolan budak-budak itu. Kejadian itu berlarutan selama lebih kurang setengah jam hinggalah ada jiran saya menjerkah budak-budak tersebut supaya tidak terus menyeksa anjing itu. Lebih kurang 10 minit anjing itu berehat akibat kepenatan sewaktu bergelut dengan keadaan yang mencemaskannya itu. Namun, budak-budak itu datang kembali.

Anjing itu pun bergelut dan terus menjerit akibat diperlakukan sedemikian rupa. Saya yang melihat kejadian itu terus berada dalam kegusaran. Minda saya juga sedang bergelut dengan persoalan - Apa yang perlu saya lakukan? 


Analisis kejadian

Saya boleh katakan yang budak-budak itu jahil. Mereka kurang diajar dengan kesedaran sivik yang mana kekejaman terhadap apa jua jenis haiwan termasuk anjing adalah tidak boleh dilakukan. Samada ibu bapa mereka tak ajar, sekolah mereka tak ajar, atau diri mereka sendiri yang bongok. 

Saya boleh katakan yang saya menyesal dengan diri saya kerana tidak tegas dengan budak-budak tersebut. Saya tak jerkah budak-budak tersebut dengan jerkahan terkenal saya (Syiman's infamous shouting). Saya berada dalam keadaan gusar untuk bertindak tegas kerana kejadian kejam terhadap anjing itu buat pertama kalinya berlaku secara lansung di depan saya. Saya juga masih baru di kawasan perumahan itu.

Tindakan penduduk taman perumahan (terutamanya orang tua dan orang yang dah duduk lama di situ) hanya melihat dan tidak melakukan apa-apa juga agak memeranjatkan saya. Adakah mereka bias kerana haiwan yang diperlakukan kejam itu adalah anjing? Adakah mereka jahil dalam membezakan kekejaman dengan sebaliknya? 

Rumusan kejadian

Jika kejadian itu berlaku lagi, maka saya bersedia untuk melakukan jerkahan. Saya adalah anti-kekejaman maka saya tidak akan membiarkan kekejaman berlaku di depan mata saya. 

Walaupun anjing adalah najis mukhallazah namun itu bukan bermaksud kita ada hak untuk melakukan kekejaman terhadapnya. Anjing tetap makhluk Allah yang mana ada peranannya yang tersendiri. 




Tuesday, August 19, 2014

Tun M menegur Najib


Tulisan terbaru Che Det aka Tun Dr Mahathir Mohamad adalah sangat sangat menampar Najib Razak dengan beberapa penangan berapi yang membakar beliau dan Rosmah. Nampaknya limit kesabaran Tun M terhadap Najib Razak telah sampai ke penghujungnya. 

Secara tidak langsung, Tun M mengesahkan bahawa Najib Razak adalah Perdana Menteri yang lemah kerana dasar-dasar yang diperkenalkan beliau tidak membantu ke arah keharmonian kaum dan kemakmuran ekonomi. Tun M mengesahkan bahawa Malaysia di bawah pimpinan Najib Razak adalah berada dalam keadaan ekonomi tidak sihat dan perhubungan kaum yang tegang. 

Tun M ada berkata bahawa sebelum ini mmg beliau banyak mengkritik Najib Razak namun beliau degil untuk berubah. Beliau juga berkata bahawa pemimpin bawahan Najib Razak tidak berani menegur perangai Najib yang tidak mahu berubah. 

Pendapat saya begini. Jika dulu sewaktu Tun M mengkritik Pak Lah, ramai pemimpin bawahan yang mendesak peletakan jawatan Pak Lah. Namun, berlainan dengan situasi Najib Razak. Walau banyak mana pun Tun M mengkritik pentadbiran Najib aka Jib Gor ini, tiada desakan oleh pemimpin UMNO yang lain menuntut Najib turun takhta. 

Hal ini kerana tidak lain dan tidak bukan adalah krisis kepimpinan UMNO. Orang UMNO kini buntu kerana mereka kekurangan produk pemimpin kelahiran UMNO yang berkualiti. Mereka beranggapan bahawa Najib Razak adalah pemimpin terbaik buat mereka. Disebabkan tiada pilihan dan menyedari tentang hakikat kekurangan produk pemimpin berkualiti ini, maka mereka pasrah dengan Najib Razak. 

Berbalik kepada Tun M, beliau berasa Najib Razak iaitu pemimpin terbaik keluaran UMNO sekarang tidak mampu membawa Malaysia menjadi negara yang makmur ekonominya dan harmoni masyarakat majmuknya. 

Dengan itu, wahai rakyat Malaysia, pilihan apa yang kita ada sekarang?   



Friday, August 15, 2014

Penipu


Antara perasaan yang paling saya tak suka adalah apabila saya berasa ditipu oleh orang lain. Saya pasti di sini semua dalam kalangan kita tidak suka menjadi mangsa penipuan. Namun apa yang menghairankan saya adalah, dalam keadaan semua daripada kita tidak suka ditipu, ramai juga yang memilih untuk melakukan penipuan hanya untuk memastikan kelangsungan kehendak nafsu mereka.

Maka bermulalah drama penipu ini yang beralaskan alasan demi alasan untuk menghalalkan penipuan mereka. Para penipu berkata ada kategori tipu yang dibolehkan iaitu ‘tipu sunat’. Dengan itu, berbentengkan alasan ini, geng penipu pun meneruskan penipuan mereka tanpa ada rasa keinginan untuk bertaubat.

Apabila dah namanya penipu, setelah sekian lama berlatih dengan pelbagai macam teknik penipuan, mereka tidak lagi rasa bersalah apabila menipu orang lain. Mereka jadi penipu tegar.

Apa yang syok sangat dengan perbuatan menipu? Mungkin kehendak nafsu dapat dipenuhi namun perlu diingat di sini, dengan menipu anda tidak akan menuju jalan ke arah kejayaan. Anda hanya menggembirakan diri dan juga menceriakan syaitan namun pengakhirannya adalah, suatu hari nanti anda yang akan berhadapan dengan balasan oleh keadilan.

Ya, ada kalanya kebenaran itu menyakitkan. Kesakitan itu lah yang menakutkan anda untuk bercakap benar. Hakikatnya, menyimpan kebenaran dengan bertopengkan kepalsuan itu lah yang lebih menyakitkan. Ini kerana sesuatu yang negatif akan merosakkan jiwa. Kerosakan jiwa adalah penyakit yang paling sakit, yang mana ubatnya adalah bercakap benar. Jadi, sakit mana yang anda mahu; - sakit sedikit demi kebenaran, atau sakit jiwa?

Bagi meneruskan survival bukanlah dengan cara menipu. Kejujuran, keikhlasan, dan kebenaran adalah elemen sebenar untuk survival bagi kehidupan yang berjaya.

Setiap kali anda rasa nak menipu, ingat dua benda; 1)Anda tak mahu menggembirakan syaitan dan 2) Anda tak mahu sakit jiwa.