Wednesday, August 20, 2014

Anjing


Pengenalan peristiwa

Apa yang saya nampak petang tadi adalah kekejaman terhadap anjing. Seramai 15 budak dalam lingkungan Darjah 1-Tingkatan 2 berkerjasama mengikat seekor anjing dengan tali di kaki lalu mengheret anjing itu di jalan taman perumahan yang bertar. Kejadian mengheret berlaku kerana mereka ingin menangkap anjing tersebut namun, anjing itu tidak mahu masuk ke dalam tong sampah yang mereka sediakan. Mereka pula mengalami kesukaran kerana tidak berani menyentuh anjing tersebut dengan tapak tangan (disebabkan najis mukhallazah). 

Anjing yang ketakutan itu cuba untuk melarikan diri namun tidak berkemampuan berbuat demikian kerana kakinya telah diikat. Maka, apa yang mampu anjing tersebut lakukan adalah dengan menjerit-jerit (menyalak sayu) meminta tolong sewaktu diseret oleh budak yang menarik tali yang mengikat kakinya. 

Saya sebagai saksi kejadian itu mula gusar dengan kekejaman yang ditunjukkan oleh gerombolan budak-budak itu. Kejadian itu berlarutan selama lebih kurang setengah jam hinggalah ada jiran saya menjerkah budak-budak tersebut supaya tidak terus menyeksa anjing itu. Lebih kurang 10 minit anjing itu berehat akibat kepenatan sewaktu bergelut dengan keadaan yang mencemaskannya itu. Namun, budak-budak itu datang kembali.

Anjing itu pun bergelut dan terus menjerit akibat diperlakukan sedemikian rupa. Saya yang melihat kejadian itu terus berada dalam kegusaran. Minda saya juga sedang bergelut dengan persoalan - Apa yang perlu saya lakukan? 


Analisis kejadian

Saya boleh katakan yang budak-budak itu jahil. Mereka kurang diajar dengan kesedaran sivik yang mana kekejaman terhadap apa jua jenis haiwan termasuk anjing adalah tidak boleh dilakukan. Samada ibu bapa mereka tak ajar, sekolah mereka tak ajar, atau diri mereka sendiri yang bongok. 

Saya boleh katakan yang saya menyesal dengan diri saya kerana tidak tegas dengan budak-budak tersebut. Saya tak jerkah budak-budak tersebut dengan jerkahan terkenal saya (Syiman's infamous shouting). Saya berada dalam keadaan gusar untuk bertindak tegas kerana kejadian kejam terhadap anjing itu buat pertama kalinya berlaku secara lansung di depan saya. Saya juga masih baru di kawasan perumahan itu.

Tindakan penduduk taman perumahan (terutamanya orang tua dan orang yang dah duduk lama di situ) hanya melihat dan tidak melakukan apa-apa juga agak memeranjatkan saya. Adakah mereka bias kerana haiwan yang diperlakukan kejam itu adalah anjing? Adakah mereka jahil dalam membezakan kekejaman dengan sebaliknya? 

Rumusan kejadian

Jika kejadian itu berlaku lagi, maka saya bersedia untuk melakukan jerkahan. Saya adalah anti-kekejaman maka saya tidak akan membiarkan kekejaman berlaku di depan mata saya. 

Walaupun anjing adalah najis mukhallazah namun itu bukan bermaksud kita ada hak untuk melakukan kekejaman terhadapnya. Anjing tetap makhluk Allah yang mana ada peranannya yang tersendiri. 




No comments:

Post a Comment