Friday, August 15, 2014

Penipu


Antara perasaan yang paling saya tak suka adalah apabila saya berasa ditipu oleh orang lain. Saya pasti di sini semua dalam kalangan kita tidak suka menjadi mangsa penipuan. Namun apa yang menghairankan saya adalah, dalam keadaan semua daripada kita tidak suka ditipu, ramai juga yang memilih untuk melakukan penipuan hanya untuk memastikan kelangsungan kehendak nafsu mereka.

Maka bermulalah drama penipu ini yang beralaskan alasan demi alasan untuk menghalalkan penipuan mereka. Para penipu berkata ada kategori tipu yang dibolehkan iaitu ‘tipu sunat’. Dengan itu, berbentengkan alasan ini, geng penipu pun meneruskan penipuan mereka tanpa ada rasa keinginan untuk bertaubat.

Apabila dah namanya penipu, setelah sekian lama berlatih dengan pelbagai macam teknik penipuan, mereka tidak lagi rasa bersalah apabila menipu orang lain. Mereka jadi penipu tegar.

Apa yang syok sangat dengan perbuatan menipu? Mungkin kehendak nafsu dapat dipenuhi namun perlu diingat di sini, dengan menipu anda tidak akan menuju jalan ke arah kejayaan. Anda hanya menggembirakan diri dan juga menceriakan syaitan namun pengakhirannya adalah, suatu hari nanti anda yang akan berhadapan dengan balasan oleh keadilan.

Ya, ada kalanya kebenaran itu menyakitkan. Kesakitan itu lah yang menakutkan anda untuk bercakap benar. Hakikatnya, menyimpan kebenaran dengan bertopengkan kepalsuan itu lah yang lebih menyakitkan. Ini kerana sesuatu yang negatif akan merosakkan jiwa. Kerosakan jiwa adalah penyakit yang paling sakit, yang mana ubatnya adalah bercakap benar. Jadi, sakit mana yang anda mahu; - sakit sedikit demi kebenaran, atau sakit jiwa?

Bagi meneruskan survival bukanlah dengan cara menipu. Kejujuran, keikhlasan, dan kebenaran adalah elemen sebenar untuk survival bagi kehidupan yang berjaya.

Setiap kali anda rasa nak menipu, ingat dua benda; 1)Anda tak mahu menggembirakan syaitan dan 2) Anda tak mahu sakit jiwa.


No comments:

Post a Comment