Thursday, December 29, 2016

Suka Duka 2016


Kembali kita pada sesi Suka Duka 2016, yang mana pada tahun ini akan menampilkan sekali lagi senarai yang cukup signifikan bagi menggambarkan bagaimana 2016 telah berlangsung. Rasa seperti beberapa hari sahaja saya menyingkap Suka Duka 2015, kini sudah pun tiba pada sesi yang 2016.

Maka seperti biasa, inilah hasil 2016:

SUKA

1. 3 Anugerah dibolot sewaktu Majlis Konvokesyen ke-85 UiTM Lendu - Graduan Terbaik Keseluruhan, Graduan Fakulti Terbaik dan Graduan Program Terbaik.

2. Berjinak dengan Online Shopping - Lazada, Zalora dan Agoda. Hanya klik di hujung jari, telah sampai beberapa produk yang syok ke tangan saya. Hanya duduk di rumah dan klik di sana dan di sini, barang pun sampai. Online Shopping adalah satu pengalaman baru yang cukup menggembirakan. Rasa mudah.

3. Kakak saya akhirnya bergelar isteri orang dengan secara mengejut (surprisseeee!) memberitahu niat untuk berkahwin dengan lelaki daripada Terengganu. Alhamdulillah selamat dinikah dan bertambahlah seorang lagi ahli baru dalam keluarga.

4. Diberi kepercayaan oleh Golden Screen Cinemas untuk menggalas tanggungjawab sebagai Assistant Cinema Manager di 3 buah lokasi (secara tidak serentak) - Nu Sentral, Quill City Mall dan Aeon Bandaraya Melaka. Pengalaman yang boleh dikatakan mencabar dan menyeronokkan, saya akan ingat semua yang banyak membantu dan berkerja bersama saya.

5. Nintendo melancarkan Pokemon terbaru, iaitu Pokemon Sun dan Moon dengan beberapa ekor Pokemon yang menarik dan mantap. Berhasrat untuk mendapatkan Pokemon Moon untuk dijadikan koleksi. I want you, Lunala. Please be friend with Xerneas.

6. Melalui Lazada, akhirnya terlunas jugak hasrat untuk mendapatkan External Hardisk 1TB dengan harga yang berpatutan, RM189. Jenama Lenovo.

7. Mendapat tawaran untuk melanjutkan pengajian dalam bidang Communication Management & Policy di UiTM.

8. Menjadi emcee untuk majlis Communication Management Discourse Series 2016 (COMDISC), majlis oleh CMP Club UiTM. Beberapa ahli panel iaitu daripada BBDO dan Sinar Harian datang untuk memberi sedikit perkongsian berkaitan strategi dalam membuat pemilihan media. Memang best.

9. Hadir ke forum terbuka yang mana salah seorang panel adalah Syed Saddiq. He is a good man, with a good critical thinking. Our future leader, I guess. Hope that Dark Forces is not consuming him. Hihi.


DUKA

1. Diceraikan oleh Yayasan Bank Rakyat. Saya paham, mungkin terlalu banyak aplikasi yang perlu diurus hingga terlepas pandang, atau beberapa sebab yang lain. Tidak apa, mungkin rezeki pada yang lain.

2. Sentiasa risau adakah saya mampu untuk mengekalkan jejak cemerlang di Lendu. Kini di Shah Alam, agak serabut dan rasa terumbang ambing dilanyak ombak assignment dan test,

3. Masih lagi dengan drama yang sama namun aktor yang berbeza, konflik membabitkan kawan terus berlaku dengan skrip yang berlainan. Rasanya memang setiap tahun akan ada konflik yang akan tercetus. Masalahnya, saya nie seorang yang sangat sensitif dan fragile. Sekali hancur, rasa mcm susah sangat nak cantum balik..

4. Disebabkan penceraian yang tidak diduga oleh YBR, maka saya perlu mencari alternatif lain bagi memastikan status kewangan bagi memastikan kelangsungan dana pengajian saya supaya terus mengalir hingga ke akhirnya.

Maka berterima kasihlah kita pada Allah yang sentiasa bersama dan memastikan survival kita dalam menempuhi tahun yang mencabar dan terkandung pelbagai drama. Dalam menentukan momen suka dan duka kita ini, ada satu perkara yang boleh kita kawal, iaitu pilihan yang kita buat. Di tangan anda ada beberapa pilihan, buatlah pilihan yang bijak.

Selamat menempuhi 2017.

Sunday, December 18, 2016

Adab Meminjam


Saya masih berpandangan kuat bahawa dalam sesuatu perkara dan keputusan yang kita lakukan, kita kena lakukan dengan berpandukan nilai moral dan adab yang betul.

Bila pinjam barang orang, maka kena lah pulangkan kembali dengan cepat, jangan lengah-lengahkan supaya pemilik barang itu tak resah untuk menunggu kepulangan barang tersebut. Bila dah pinjam, pastikan barang itu berada dalam keadaan baik. Yeah lagi satu, bila dah pinjam, jangan bagi sesuka hati pinjamkan pulak dengan kawan yang lain. Nampak sangat tak jaga barang pinjaman itu elok-elok. Dah pandai pinjam dan seronok guna, maka kenalah pandai jugak nak menjaganya.

Bila dah awak tu tak pulangkan dengan cepat dan melengah-lengahkan pemulangan, maka jangan lah melenting bila pemilik barang itu menegur dan memberi tekanan supaya barang itu cepat dipulangkan. Tahu pulak nak marah bila diberi tekanan sedangkan awak tu tak tahu pemilik barang itu ada keperluan nak guna barang itu dan sedang resah menanti barang milik beliau. Pemilik barang tu pulak yang kena marah balik sedangkan dia tak sedar yang status dia sekarang adalah peminjam lewat.

Makanya saya sedang dalam penilaian semula berkaitan polisi diri sendiri untuk meminjamkan barang kepada orang lain. Pengamatan saya setakat ini, semua orang yang meminjam barang-barang saya bukan sahaja lewat hantar barang, malah barang dipulangkan dalam keadaan yang tidak baik. Malah ada yang kurang ajar bila saya mula memberi tekanan supaya barang tersebut dipulangkan segera.

Nampak tak ada permasalahan besar daripada segi adab dan moral kalangan orang kita sekarang. Justeru, sama-sama lah kita menilai.


Thursday, December 15, 2016

Thanks for Online Revolution 12.12, Lazada


Terima kasih kepada Lazada yang baru-baru ini melancarkan Online Revolution, tempoh khas untuk pelbagai jenis promosi dan publisiti produk berjenama dan terbaik secara atas talian.

Saya yang berkesempatan dan alhamdulillah sedikit berkemampuan pada waktu ini sempat membuat pesanan terhadap produk yang bernama JBL Go, speaker audio yang kecil, mini dan comel namun mega daripada segi kualiti audio.

Saya memang berpuas hati dengan apa yang saya dapat daripada apa yang saya bayar. Daripada harga asal RM100++, melalui Flash Sale di Lazada, saya sempat meraih produk ini dengan hanya RM65.

Bagi sesiapa yang terlepas Online Revolution pada 12 Disember 2016 yang lepas, jangan lah rasa kecewa dan stress, masih banyak lagi promosi di Lazada. Membeli secara atas talian adalah satu keistimewaan era kini yang perlu dirai.

Bayangkan, External Hard Disk 1.5TB yang berjenama dijual dengan harga RM189, berbanding harga asal RM299. Itu tidak termasuk promosi oleh pihak bank seperti Maybank yang membuat jualan promosi besar-besaran - setinggi 50% diskaun.

Disebabkan produk-produk yang mantap yang boleh didapati secara atas talian ini, saya berazam untuk berkerja untuk mendapatkan duit untuk dicurahkan pada produk-produk ini.


Tuesday, December 13, 2016

13/12


Di kesempatan saya sedang melepak bersama Bella di McD Seksyen 2 Shah Alam ini, saya ingin menulis berkaitan plan penulisan saya untuk Disember 2016. Apa yang saya akan tulis?

Seperti kebiasaan setiap akhir tahun, saya akan menyenaraikan momen gembira dan sedih dalam siri Suka Duka. Seterusnya apa yang saya harapkan untuk tahun2 yang akan mendatang. Dan beberapa anugerah yang ingin saya sampaikan kepada individu yang berjaya mencorakkan tahun 2016 dengan warna warni yang menarik.

2016 secara keseluruhannya adalah menarik. Seperti tahun-tahun kebelakangan ini, kita sering diperhidang dengan pelbagai jenis fenomena dan trend yang kadang-kadang ada yang memeningkan, walaupun ada yang menyenangkan.

Saya berharap di pengakhiran 2016 nie, kita akan konklusikan dengan keazaman untuk melahir 2017 yang lebih mantap dan padu.


Thursday, November 24, 2016

Life is Not Fair


Dalam keadaan yang tidak tenang, kita perlu menjadi tenang.

Itu lah cabaran besar yang perlu saya tempuhi untuk terus fokus.

Satu prinsip yang perlu kita sedari sekarang adalah kehidupan ini tidak adil. Life is not fair. Kita dah buat apa yang perlu namun kadang-kadang kebobrokan yang ada pada sistem tidak menyebelahi kita.

Namun, kita tidak boleh sesekali putus asa untuk terus mengorak langkah ke arah jalan yang lain apabila jalan yang kita tempuhi tidak membawa kita kepada kebenaran yang kita mahukan.

Untuk terus fokus maka kita kena terus merancang. Itu yang saya lakukan sekarang.

Saturday, November 19, 2016

Bagaimana awak jadi yang terbaik ye?


Ada yang bertanya - Bagaimana anda jadi yang terbaik?

Bukan senang saya nak jawab. Saya pun sebenarnya tak pasti sangat apa yang saya buat untuk jadi yang terbaik. Apa yang saya tahu adalah saya fokus terhadap silibus dan sentiasa memberi yang terbaik terhadap apa yang saya telaah.

Yang saya ingat juga, setiap semester mesti saya akan bergaduh dengan beberapa pihak. Konflik yang tercetus adalah disebabkan perbezaan cara dan visi untuk selesaikan projek berkumpulan kami. Ini menunjukkan kita manusia sentiasa berbeza pemikiran, maka konflik mahu tidak mahu tidak dapat dielakkan. Maka tips saya seterusnya adalah, kuasai pengurusan konflik. Jangan jadikan konflik sebagai penghalang kepada anda untuk fokus ke arah capai objektif.

Saya adalah seorang yang introvert, membawa maksud saya pendiam. Namun, ramai jugak kawan-kawan saya yang ajak saya keluar jalan-jalan untuk aktiviti bersosial - termasuklah tengok wayang, karaoke, main boling, mengopi di Starbucks, McCafe atau hipsters cafe. Saya boleh nak layan aktiviti bersosial seperti itu namun sampai satu masa saya terpaksa had kan semua aktiviti bersosial ke paras paling minimum. Realitinya, aktiviti sosial anda perlu dikurangkan. Anda perlu lebih banyak meluangkan masa bersama buku dan nota-nota akademik.

Cukup lah rasanya 3 perkara ini sebagai resipi yang saji kepada anda kali ini. Teknik fizikal yang saya bagi tadi berkait rapat dengan pengurusan. Jauh ke dalam minda, motivasi dan keazaman perlu ada untuk melengkapkan perancangan yang dilakukan.


Friday, November 18, 2016

Lazada


Membeli secara online / atas talian memerlukan keberanian sebab anda akan mendedahkan maklumat kad kredit mahupun kad debit anda. Anda tertanya-tanya boleh percaya ke website Lazada nie?

Saya pun begitu, bermula dengan penuh skeptikal terhadap website yang menjual barang secara online seperti Lazada. Namun saya tidak mahu ketinggalan, lalu saya pun memberanikan diri dengan membeli barang pertama di Lazada, dengan membuat bayaran secara COD - Cash on Delivery.

Setelah barang itu sampai ke tangan saya, saya mula rasa seronok untuk terus membeli daripada Lazada. Kali ini saya membuat bayaran melalui Online Banking. Daripada satu barang yang saya beli itu, kini jumlah barang yang telah pun saya beli daripada Lazada adalah lebih kurang 20 barang.

Bagi saya urusan jual beli melalui Internet adalah satu pengalaman yang menyeronok. Dan yang paling penting, ia memudahkan saya. Bukan sahaja mudah, malah murah. Ada yang lebih murah berbanding harga yang kita jumpa di pasaraya dan mana-mana kedai fizikal.

Bermula daripada Lazada kini saya mula rasa seronok untuk membeli secara atas talian - membeli tiket ETS pergi balik ke Kedah, dan juga tempahan penginapan bilik hotel di Agoda.com.

Terima kasih Internet.

Sunday, November 13, 2016

Lewat


Ya, saya tahu saya lewat. Di usia saya sekarang, saya baru selesai konvokesyen Diploma*.

Namun apa yang pasti saya sekarang sedang gembira untuk belajar. Orang putih kata 'feeling content'.

Saya tengok ramai yang terkejar-kejar (kalau tak terkejar pun, istilah 'sudah' lebih sesuai), berkahwin dengan pasangan masing-masing, beranak-pinak (ada yang dah nak masuk anak ke-3), bukak perniagaan masing-masing (contoh: Januar Haikal - Furby & Sugar dan Fuzana Mokhtaza), membalikkan diri ke Malaysia setelah tamat pengajian luar negara, berjaya dalam pelbagai bidang (jadi peguam, doktor, cikgu cekgi, pensyarah), memiliki kereta mewah berbijik-bijik, melancong ke Paris London Tokyo dan sebagainya.

Saya sebenarnya pernah mempunyai kerjaya iaitu sebagai Assistant Cinema Manager di Golden Screen Cinemas. Namun saya ambil keputusan untuk menyambung pelajaran.

Segala yang diraih oleh kawan-kawan saya saya susuli dengan ucapan tahniah. Saya gembira melihat korang gembira. Namun persoalannya, gembira kah anda? Gembirakah anda dengan apa yang ada pada laki dan bini masing-masing? Gembirakah anda apabila duit dikeluarkan beribu-ribu untuk melihat pemandangan baru di luar negara? Gembirakah anda dengan kerjaya anda sekarang, seperti contoh sebagai doktor, merawat orang-orang tua yang macam2 sakit dan kerenahnya dan on-call?

Saya bertanya dan mengajukan persoalan penting ini kerana saya prihatin terhadap status kehidupan kita. Adalah penting untuk sentiasa berfikir tentang persoalan kehidupan. Sebagai contoh, saya lewat menghabiskan pengajian namun saya feeling content with this life. Saya harap anda juga sama rasanya.




*Saya berkonvokesyen dengan menerima Anugerah Naib Canselor, Anugerah Graduan Terbaik Keseluruhan Majlis Konvokesyen UiTM Lendu ke-85, Anugerah Graduan Terbaik Fakulti dan Program

Saturday, November 12, 2016

Motivasi daripada Menulis


Saya dapati dengan menulis, saya lebih teransang untuk bersemangat dalam mengulang kaji pelajaran. Dengan menulis, saya dapat menyusun idea dengan lebih teratur dan kemas lantas mula mengorak langkah untuk mengaplikasi plan yang betul untuk meraih objektif.

Saya rasa lebih bertenaga selepas menulis. Nampaknya, penulisan adalah sumber motivasi saya.

Apa yang saya tulis adalah plan dan checklist kerja yang perlu saya lakukan. Dengan menulis perkara itu, saya rasa lebih tenang sebab saya tahu apa yang saya perlu buat.

Saya cadangkan anda yang mahukan motivasi maka mula lah menulis.

Sesungguhnya kuasa terletak pada batang pena.

Thursday, November 10, 2016

Donald Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat


Donald Trump telah mengalahkan Hillary Clinton. Pada hari ini itulah hakikat yang perlu kita terima.

Satu lagi hakikat yang perlu kita telan adalah satu kenyataan bahawa hype besar-besaran di media sosial tidak mencerminkan langsung kebenaran.

Anda namakan selebriti terkenal yang membantu Clinton - Katy Perry, Beyonce, Madonna, Lady Gaga - ke semua mereka gagal menyalurkan kuasa dan pengaruh mereka untuk memenangkan Clinton. Melalui gambaran di media sosial juga anda boleh saksikan betapa orang ramai dan pandangan awam sangat sukakan Clinton berbanding Trump, betapa mereka tidak sukakan Trump dan mengutuk Trump dengan pelbagai gelaran. Maka menurut kitab media sosial ini, boleh la kita katakan yang Clinton akan menang mudah mengalahkan Trump.

Itu yang digambar dan boleh dilihat di sosial media, namun hari ini Trump menang.

Keadaan ini lah yang saya namakan sebagai falasi realiti oleh media sosial - gembar-gembur di media langsung tidak mencerminkan unjuran dan keadaan sebenar.

Berdasarkan kepada case study ini, boleh lah dikatakan media sosial penuh hype dan viral bukanlah wadah yang baik untuk kita dapatkan kebenaran. Malah hype dan viral inilah yang menyimpangkan kita daripada kebenaran.

Yang dapat beratus ribu malah berjuta-juta views di Youtube, bukan membawa maksud dapat untung kewangan. Yang dapat berlambak followers dan likes bukan bermaksud yang dia adalah berbakat.

Kita perlu nilai kembali kepercayaan kita pada media sosial. Kiblat kebenaran bukan terletak pada media sosial.


Wednesday, November 9, 2016

Konvo Lendu


Alhamdulillah, selesailah saya berkonvo.

Pengalaman bermalam di Melaka untuk berkonvo adalah satu pengalaman yang perlu diceritakan di sini.

Sebabnya, Melaka berubah dan berkembang dengan pantas. Dalam masa beberapa bulan, macam-macam pembaharuan yang ada bukan sahaja di Bandaraya Melaka malah di Alor Gajah.

Yang paling saya kagum adalah kecantikan bangunan baru H&M di Jonker Walk. Jonker Walk itu sendiri kini kelihatan lebih segar dan cantik.

Merah dan saya bermalam di Hallmark Leisure Hotel. Dengan pakej breakfast dan ada Wifi, RM80 adalah satu jumlah yang berpatutan.

Sewaktu konvo, saya telah dinobat sebagai Anugerah Graduan Terbaik Keseluruhan, Anugerah Graduan Terbaik Fakulti dan Program, dan Anugerah Naib Canselor. Tiga anugerah ini walaupun saya rasa tak layak untuk dapat (sebab banyak lagi pelajar yang bagus-bagus) namun tetap saya panjatkan kesyukuran dan berharap semoga meransang saya untuk terus mengorak kejayaan lagi.

Terima kasih saya ucapkan pada semua termasuk kepada Unit Peperiksaan yang memberi saya sejambak bunga yang sangat wangi dan banyak. Kredit juga perlu diberikan kepada seluruh komuniti Masscomm yang banyak membantu saya merangkul pencapaian ini.


Sunday, November 6, 2016

Pokemon Sun And Moon


Pokemon Sun and Moon yang bakal diluncurkan dalam bulan November 2016 adalah sangat bersejarah kerana Nintendo telah mengesahkan bahawa game ini telah mengundang pre-order terbanyak sepanjang sejarah gaming oleh Nintendo.

Kredit perlu diberi sedikit sebanyak terhadap Pokemon Go! yang berjaya menarik banyak perhatian terhadap dunia Pokemon.

Antara diskusi yang banyak berkaitan game terbaru ini adalah tentang Starter Pokemon. Saya semestinya akan pilih Rowlet, seekor Pokemon berinspirasikan burung hantu dengan type Grass-Flying. Saya nak Rowlet sebab di akhir evolusi Rowlet adalah Decidueye, Pokemon type Grass-Ghost. Saya memang daripada awal suke type Ghost. Shiny Decidueye sangat cantik, warna biru.

Tak sabar nya nak main Pokemon Sun and Moon! Owh yea, saya akan pilih Pokemon Moon sebab saya kan suka kan kegelapan.


Data


Kita sekarang dikelilingi oleh data.

Hal ini disebabkan kita berada dalam zaman digital, yang mana semua benda dan kelengkapan memerlukan data.

Pengurusan data adalah salah satu perkara yang perlu dititikberat dasawarsa ini kerana tanpa pengurusan sebegini, kita akan berada sangat serabut. Klasifikasi data yang betul iaitu mana satu yang perlu dan tidak perlu hendaklah diperinci.

Laptop dan mobile phone saya semakin tidak tentu arah dengan lambakan data. Saya perlu mantapkan lagi pengurusan data saya sebab saya tak nak rasa serabut.


Saturday, November 5, 2016

Konvo Jom


Setelah berhempas pulas berada dalam semester pengajian terbaru saya di Shah Alam, minggu 7-11hb November 2016 akan menyaksikan saya sibuk untuk mempersiapkan diri demi sebuah konvokesyen.

Konvokesyen ini bermakna buat saya sebab saya akan menerima anugerah besar pada majlis itu. Dalam hati saya masih bertanya, 'layakkah aku untuk mendapat anugerah ini?'. Namun, kesyukuran masih dipanjat dengan harapan kejayaan ini akan meneruskan rentak sukses ku di kemudian masa.

Wajarlah untuk saya ceritakan proses saya mempersiapkan diri untuk menghadirkan diri ke majlis konvokesyen ini. Yang paling untuk diketahui adalah majlis konvokesyen ini tidak akan mendapat penyertaan oleh ahli keluarga saya yang terdekat. Membawa maksud, ibu saya tidak dapat menghadirkan diri. Arwah abah saya? Jangan tanya lah ye sebab apa arwah tak dapat hadir. :P
Ibu saya tidak dapat hadir sebab terpaksa menjaga anak buah saya yang akan menduduki kertas peperiksaan SPM pertama pada 7hb.

Melalui agoda.com, saya telah membuat tempahan bilik hotel di Hallmark Hotel Leisure, berdekatan dengan Jonker Walk, Melaka. Kami ambil pakej dengan sarapan, supaya kami tak mencari-cari apa yang nak makan sewaktu pagi hari, sebelum nak berkonvo.

Di hari kejadian, saya akan pastikan untuk jumpa dengan pensyarah-pensyarah yang saya sayangi dan senangi seperti Mdm Nomi, Sir Abdul Latif, Sir Zari Nezam dan Mdm Shidah. Selain selfie dengan diorang, saya juga nak selfie dengan kawan-kawan lama dan baru. Haruslah konvo ini dimeriahkan dengan selfie sebagai tanda bahawa kita telah selesai satu babak dalam proses menuntut ilmu.

Alhamdulillah atas segala apa yang saya raih, semoga kita akan terus mengorak dengan konsisten untuk mencapai objektif dan subjektif kehidupan.


Friday, October 21, 2016

Pelajar Terbaik Keseluruhan oleh Fakulti


Adalah menjadi satu kesedaran buat saya setelah menjawab test midterm untuk subjek Planning for Communication Professionals. Saya mess up. Saya tak dapat jawab. Berlainan sewaktu zaman saya dip dulu, kehidupan degree adalah berlainan.

Lecturer lebih serius, soalan midterm pun lebih serius. Makanya, soalan final pun akan jadi lebih serius. Segala-galanya adalah serius di zaman degree. Maka, saya akan pertingkatkan keazaman saya untuk terus melangkah dengan gigih. Kerajinan saya akan tambahkan lagi dalam resipe kejayaan saya untuk degree.

Perkongsian yang kurang menggembirakan telah saya ceritakan. Sekarang, saya nak cerita pulak tentang kisah gembira yang membuatkan saya memanjatkan kesyukuran - saya telah terpilih untuk Anugerah Pelajar Keseluruhan Terbaik untuk fakulti saya sewaktu zaman dip.

Alhamdulillah.

Semoga kejayaan ini akan memberikan motivasi ke arah kejayaan yang berterusan. Yup, sememangnya kejayaan ini akan menjadi peransang untuk saya kembali menjadi number satu sewaktu degree.

Amin.

Saturday, September 17, 2016

Pengalaman di GSC


Hari ini adalah sangat sukar bagi emosi saya kerana terpaksa meninggalkan GSC. Apakah itu GSC? Bagi sesiapa yang masih belum tahu, GSC adalah akronim untuk Golden Screen Cinemas – rangkaian panggung wayang no. 1 di Malaysia; 33 cawangan dengan tambahan 4 lagi cawangan baru – menjadikan GSC memiliki 37 cawangan seantero Malaysia.

Saya ditempatkan di 3 cawangan sepanjang kerja saya di GSC, iaitu di Nu Sentral, Quill City Mall dan Aeon Bandaraya Melaka.

Antara semua cawangan itu, momen paling bermakna dan best adalah semestinya di GSC Aeon Bandaraya Melaka a.k.a. GSC ABM. Ini adalah disebabkan saya ada bos yang baik iaitu Sir Fizri Mirzan, rakan sejawatan Assistant Cinema Manager Miss Siti Zubaidah dan juga tidak ketinggalan Sir Syed Abdul Amin, Supervisor yang sporting – Miss Ong, Kak Na, Fazrul, Hafiz Deen, Crew Leader yang lain, Aidil, Syuhada, dan staff.

Walaupun hubungan kami ada gelombang naik dan susut, secara keseluruhannya ia adalah kolaborasi dan kerjasama yang saya suka.

Saya tidak tahu sebenarnya bagaimana cara untuk memberitahu tentang niat saya untuk meletak jawatan namun akhirnya semua berjalan lancar. Terima kasih pada yang Team ABM yang sentiasa bersedia untuk membantu dan memberi kerjasama untuk melancarkan operasi panggung wayang.
Kita telah secara bersama menang dalam #spockear contest di Instagram lantas dapat RM1000 voucher KFC, dan secara bersama meningkatkan markah mystery customer GAP Buster sebanyak 2 bulan berturut-turut.


Terima kasih sebab belanja makan di hari-hari akhir. Semoga kita berjumpa lagi di masa lain dan kehidupan yang lain. Semoga kita semua beroleh sukses mengikut hala tuju masing-masing. 

Collaboration


Terdapat beberapa jenis kolaborasi yang pernah saya jalani. Ada yang membuahkan hasil yang mengagumkan dan ada juga yang tidak mencapai target. Ada ahli yang hanya menjadi ahli tidur dengan tidak melakukan kerja, malah ada juga yang tidak senang dengan cara kita kerja.

Saya sangat-sangat berharap dan sentiasa berdoa semoga kolaborasi sewaktu sem ini akan melibatkan ahli-ahli yang cemerlang dari segi penglibatan dan gerak kerja. Semoga target dan hasil kerja yang diperoleh adalah membanggakan. Ahli yang ada perlu menghormati antara satu sama lain dengan sentiasa berbincang dan secara hormat-menghormati menyelesaikan konflik dan krisis yang tercetus.


Prinsip-prinsip asas inilah yang menjadikan sesuatu kolaborasi sebagai sebuah kerjasama yang menyenangkan. 

Monday, June 6, 2016

dear syamil,


Dear syamil,

Tujuan saya menulis kepada anda adalah untuk merungkai kembali beberapa momen yang telah berlaku sepanjang perkenalan kita.

Ada beberapa momen yang gembira termasuklah pertolongan anda menumpangkan saya dengan kereta anda dan juga pertolongan saya terhadap anda terutamanya membabitkan pelajaran dan tugasan. Nampakkan yang kita sentiasa tolong-menolong, bukan anda saja yang tolong saya malah saya juga ada jugak berikan pertolongan.

Dan momen sekarang pula adalah anda tolong saya bayar sewa bilik di KL dan saya tolong anda berkaitan tips untuk berhadapan dengan MUET yang anda dapat Band 2 sebelum ini (tahniah anda sekarang dah layak dan berjaya dapat Band 3) , dan juga sediakan bilik di KL, memudahkan perjalanan anda ke tempat kerja. Nampakkan yang sekali lagi kita tolong-menolong.

Cumanya ada beberapa perkara yang menjadi faktor ekstra - iaitu kereta anda dan condominium saya. Nampakkan kan yang sekali sekali lagi kita bertimbal-balik, iaitu kita mudah ke sana-sini dengan kereta anda dan saya pula sediakan condominium.

Itu adalah momennya. Mari kita beralih kepada nasihat dan tips terkini kepada anda, memandangkan situasi terkini menyaksikan keperluan ke arah itu:

1. Jangan lah sesekali meringan-ringankan kata-kata yang anda pertuturkan. Kata-kata yang diperkata adalah satu komitmen. Dan komitmen itu adalah janji. Jika anda meringan-ringankan kata-kata yang anda sendiri tuturkan, maka tiada siapa yang waras akan percayakan anda lagi. #penipu #pengkhianat adalah trending hashtag yang mungkin menyerang.

2. Cuba lah untuk memperkuat daya ingatan dan memori anda dengan melatih otak anda berfungsi dengan baik. Saya tak salahkan memori anda yang tidak dapat memanggil semula ingatan tentang apa yang tuturkan, namun apa yang kita boleh tuding adalah mungkin otak anda. Sebabnya anda tak makan sayur. Cubalah berjinak-jinak dengan sayur dan makanan berkhasiat yang lain. Owh yeah, kaedah lain untuk memperkuat memori, banyakkan membaca dan menulis.

3. Tak baik berada dalam situasi penafian. Banyak sindrom penafian yang anda lakukan sepanjang anda berada di KL. Contohnya, untuk survive di KL memerlukan orang yang memiliki ciri-ciri penyabar, bukan sikit-sikit nak komplen, pandai bajet  duit dan jimat, berdikari, kompetitif, dan adventurous. Kalau anda rasa Kuala Lumpur bukan untuk anda, berambus awal-awal lagi dan jangan pasang niat lagi untuk kerja dalam suasana kompetensi tinggi di KL (Ini adalah nasihat, tak paksa anda untuk tidak lagi jejakkan kaki untuk kerja di KL). Berdasarkan pemerhatian saya lah kan, anda lebih sesuai di tempat2 yang tidak kompetitif seperti di ceruk2 pedalaman dan mungkin pekan dan bandar2 kecil.

4. Dalami semula definisi frasa-frasa yang anda gunakan untuk gambarkan diri anda seperti professional, berprinsip. Sebabnya anda guna frasa-frasa itu tetapi pemahaman tentang frasa itu tidak tepat. Jadinya, apabila anda guna frasa itu untuk gambarkan diri anda, tetapi bertentangan dengan erti sebenarnya, orang lain yang rasional dan faham akan mudah keliru dengan anda. Banyakkan membaca lagi ye syamil.

5. Anda kata anda tak suka kena pijak kepala tetapi satu benda yang saya nak tanya, kenapa anda biarkan AEON Credit pijak kepala anda? Anda akan selalu komplen dengan team leader dan pihak pengurusan department dan human resources HQ AEON yang selalu pijak kepala anda. Maka, kenapa diam. Jangan amal prinsip yang salah, sebab pengamalan prinsip yang salah bukan orang yang berprinsip maknanya.

6. Jangan meringan-ringankan persahabatan. Dengan AEON anda boleh pulak nak bagi notis sebulan sebelum berhenti kerja tetapi dengan kawan sendiri anda tak boleh nak bagi notis awal. Ini adalah contoh dan bukti kepada sikap anda yang meringan-ringankan persahabatan.

7. Jangan jadi penakut terhadap kesan daripada tindakan dan keputusan yang anda buat. Jangan berlari-lari daripada masalah dan konflik sedangkan ruang perbincangan masih ada. Orang yang berlari daripada diskusi secara rasional, sebaliknya memberi macam-macam alasan, maka orang itu bolehlah dikatakan sebagai pengecut dan penakut, tak cukup berani untuk berhadapan dengan masalah.



perjalanan seorang syamil katenye...


Tersebut lah kisah seorang syamil...

Siapakah syamil? Sebelum saya memperkenalkan siapa syamil, ada beberapa pesanan penaja yang ingin saya sampaikan.

Pertama, dalam banyak2 manusia yang bernama Syamil, hanya ada satu syamil yang saya cerita. Maka, lain2 Syamil jangan lah terasa ye.

Kedua, tujuan saya mendedahkan kes ini bukan dengan niat jahat mengaibkan mana2 pihak, cuma ingin berpesan2 supaya ada banyak jenis manusia yang kita akan hadapi. Maka penceritaan ini tujuannya adalah untuk kita mengambil pengajaran.

Mari kita masuk kepada al-kisah. Secara tuntas, saya berasa saya telah teraniaya dan dikhianati dek kerana percaya kepada kata-kata seorang kawan yang bernama syamil.

Pernah tak korang diperdajal kawan serumah/sebilik, yang mana kesannya korang terpaksa bayar penuh rumah/bilik itu sedangkan sebelum ni korang kongsi? Saya tahu ramai yang pernah kan? Saya pun pernah, dan paling tak sangka seorang syamil ini, yang mana dah kenal sejak saya study daripada UiTM 3 tahun yang lepas sanggup meringan-ringankan kepercayaan saya, lantas secara LAST MINUTE meninggalkan saya terkontang-kating membayar duit umah sewa secara penuh pada bulan Jun/Ramadhan yang mulia ini.

Ade tak sesiapa kat sini yang rasa tak geram dan sakit hati apabila diperlakukan sedemikian rupa, iaitu ditinggalkan LAST MINUTE untuk membayar duit bilik sewa secara penuh? Kalau ada sesiapa yang tak rasa sakit hati tu, kemungkinan yang ada adalah: 1) dia tak waras, 2) dia sangat penyabar.

Saya dah pesan banyak kali kepada syamil ini tentang betapa pentingnya memberitahu secara awal2 jika betul ingin meninggalkan rumah dan dijawab oleh syamil, "syamil kena tengok dulu..kalau syamil boleh bawak dan tahan lagi/mampu lagi, syamil akan go-on. Tapi, andai kata syamil tak boleh dan buat cara last minute, jangan lah risau, sebab syamil akan bayar sikit untuk cover kesan daripada syamil buat cara last minute ni".

syamil menampilkan dirinya sebagai seorang yang professional (katenye), berprinsip (katenye), namun apabila saya cuba menuntut kembali kata-kata yang diperkatakan dia iaitu untuk memberi bayaran sedikit terhadap perbuatan last minute tinggalkan umah, maka dia kata dia tak janji. Saya tak tahu lah pemikiran dan kewarasan rasional syamil ini di tahap mana, namun itu bukanlah namanya professional dan berprinsip. Atau, berprinsip yang sedang diamalkan syamil sekarang ini adalah 'kata-kata itu bukan komitmen atau janji yang boleh diringan-ringankan'.

Walaupun apapun alasan dan sebab syamil untuk melakukan perbuatan pindah secara LAST MINUTE itu, dia sepatutnya bertanggungjawab dengan kata-kata dan kesan akibat perbuatannya itu dan mengelak daripada berlari-lari ke sana sini untuk mengelak membayar hutang.

Maka, pembaca sekalian, anda adalah penilai. Saya tidak pernah paksa anda untuk bersetuju dengan saya. Namun apakan daya, seorang syamil ini telah pun bertindak sedemikian rupa. Jika anda terjumpa dengan personaliti seakan-akan seperti syamil dalam kisah di atas, maka saya harap anda bertindak secara tegas termasuk menghalau secara awal-awal lagi atau pun dengan lebih berhati-hati sewaktu memilih kawan.

Mari kita ambil pengajaran.


Wednesday, May 18, 2016

Snowpiercer


Snowpiercer adalah filem yang ditayangkan pada 2014 tetapi saya tengok pada 2016.

Walaupun lambat tengok, tetapi saya sangat seronok dan berpuas hati dengan apa yang dipapar dalam filem ini. Wow, just wow. Bong Joon-ho, pengarah filem ini sangat jelas dari segi apa dan tema yang cuba disampaikan dalam filem ini. Lakonan Chris Evans sangat menyerlah, menunjukkan bahawa beliau bukan sahaja berbakat sebagai Captain America.

Filem ini adalah keluaran produksi yang majoritinya daripada Korea Selatan, membawa maksud orang Korea Selatan yang melahirkan karya filem hebat sebegini. Satu yang sangat mengagumkan apabila dengan bajet US$40 juta, Korea Selatan berjaya menghasilkan filem yang hebat. Bila masanya Malaysia akan mampu boleh menghasilkan filem sebegini?

Yang paling dekat dengan apa yang dipertengok dalam Snowpiercer adalah apa yang diarah oleh Chiu Keng Guan, pengarah berbakat Malaysia yang mengarah filem Ola Bola dan The Journey.

Saya sangat seronok melihat perkembangan yang ditonjolkan dalam produksi filem di peringkat Asia. Orang Asia sebenarnya berbakat, namun sistem yang membelenggu masyarakat Asia masih ketat kepada tradisi fuedal. Dan melalui disiplin dan sistem yang tepat, maka Korea Selatan telah pun memperlihat kepada Dunia bahawa mereka adalah masyarakat yang layak untuk menjadi maju.

Sistem di Malaysia perlu melalui perubahan dan reformasi. Kita tidak boleh lagi rasa selesa untuk berada dalam sistem yang nampak selesa, tetapi itu semua dusta; kita ditipu oleh kroni maha kaya yang makan rasuah.

Baiklah, berbalik kepada industri filem, saya harap lebih banyak filem hebat dilahirkan di Asia. :D





Thursday, May 12, 2016

Feedback


Respon daripada anda adalah penting bagi penulis blog seperti saya.

Saya sentiasa mementingkan maklumbalas/feedback daripada pembaca seperti anda supaya sentiasa melakukan anjakan paradigma dalam setiap penulisan saya.

Makanya jika anda ada idea dan cadangan kepada pembaharuan, termasuklah kritikan, maka tolonglah pm saya di gmail (norsyaremanazmi@gmail.com) atau pun facebook (Syiman Syareman). Di Twitter pun boleh (@syimansyareman).

Respon daripada anda sangat dihargai. Terima kasih.

Hair Concealer


Semakin kita tua dan lanjut umur, maka kita haruslah mula menerima hakikat bahawa kita akan melalui proses penuaan. Semua benda akan jadi tua. Yang muda akan jadi tua dan yang hidup akan mati. Antara simptom proses penuaan adalah rambut yang makin berkurang dan kedutan mula terpapar di muka.

Semua proses penuaan itu kita kena terima dengan hati yang redha. Secara psoitifnya, orang ramai akan melihat kita sebagai individu yang semakin matang dan banyak pengalaman dan ilmu.

Berita baik di sini, jika anda keguguran rambut dan nampak menipis, maka ada beberapa produk yang boleh membantu untuk menambah baik keyakinan diri anda seperti zaman muda-muda dahulu. Produk itu adalah Hair Concealer.

Saya ingin perkenalkan lah dua brand Hair Concealer yang popular iaitu Toppik dan Caboki. Rajin-rajinkanlah diri anda untuk Google dua brand itu yea.

Motip post kali ini adalah tidak lain tidak bukan untuk:

1) Menjustifikasi bahawa kita semua sedang melalui proses penuaan. Yang muda tidak akan kekal jadi muda.

2) Keyakinan diri yang diragut oleh keguguran rambut boleh dikembalikan dengan Hair Concealer.

Adios daripada saya, Syiman Syareman. :D




Wednesday, May 4, 2016

Berkomunikasi dengan efektif, Pakatan Harapan


Saya masih belum faham tentang masalah pakatan pembangkang. Paling saya stress adalah pertindihan kerusi PKR dan DAP yang bertembung sesama sendiri di beberapa kerusi menjelang PilihanRaya Negeri Sarawak.

Saya rasa mcm nak tawarkan diri saya menjadi Perunding Komunikasi untuk kem pembangkang di Sarawak, namun apakan daya, ego pemimpin pembangkang ini boleh tahan juga besarnya.

Cuma, saya sangat sangat sangat lah kecewa dengan perkembangan terbaru yang terjadi dalam kalangan pembangkang. Sudahlah hari itu konflik antara pembangkang menyaksikan PAS keluar daripada Pakatan Rakyat dan tertubuhnya Pakatan Harapan dengan penyertaan AMANAH. Kini, konflik terbaru pula?

Nampak jelas di sini adalah, masalah utama pembangkang adalah masalah komunikasi. Sistem komunikasi para pembangkang perlu dimantapkan jika betul mereka berazam untuk menumbangkan Barisan Nasional dan mengalahkan jentera Najib-Kak Mah.

Planning - Rancangan


Dalam kehidupan yang semakin kompleks dasawarsa ini, kita semakin terjerumus dalam ketidakpastian. Tahap untuk kita fokus tentang matlamat dan objektif hidup berkecai akibat dihempap kesibukan.

Maka kita hanya mengikut ombak masalah yang semakin hari semakin kuat lantas kita hanya mampu terkapai-kapai dalam lautan permasalahan. Buat masa sekarang, kita masih tidak bertindak proaktif untuk terus mencorak sendiri kehidupan yang kita mahukan. Ada saja benda (satan, hiburan, kawan2, masa) yang mencemburui kita dengan mengajak kita kepada perkara yang tidak penting.

Apakah yang kita perlu lakukan?

Disebabkan semua ini, maka saya masih tidak boleh tidur walaupun masa telah menunjukkan jam 1.58am. Cadangan saya, untuk berhadapan dengan hidup yang serba kompleks rumit ini, maka kita harus sentiasa memiliki keazaman untuk bersabar untuk merancang langkah-langkah perlu untuk mencapai objektif. Kata kunci di sini adalah MERANCANG.

Setiap hari kita kena MERANCANG. Atau dalam versi English nya adalah PLANNING. Kepentingan merancang/planning adalah seperti yang disebutkan oleh Stephen R Covey dalam buku popular beliau iaitu The 7 Habits of Highly Effective People. Jika penggunaan masa kita setiap hari adalah lebih kepada merancang kepada langkah-langkah proaktif untuk berhadapan dengan masalah, maka kita akan secara tuntas dapat mencapai objektif.

Antara prinsip merancang yang ingin saya kongsi di sini adalah merujuk kepada seorang lagi sifu falsafah yang menulis buku How to Stop Worrying and Start Living, iaitu Dale Carnegie. Dalam setiap masalah dan situasi, mulakan perancangan langkah-langkah dengan memikirkan situasi terburuk terlebih dahulu. Dengan memikirkan situasi terburuk yang boleh terjadi, maka anda akan lebih bersedia secara mental dan emotional untuk berhadapan dengan masalah.

Setakat ini sahaja perkongsian simple saya. Jumpa lagi.

Syareman,
4/5/2016.

We Know Nuffing, Jon Snow!


Sudah sah lagi terserlah bahawa Jon Snow kini akan menggegarkan lagi Game of Thrones setelah kembali daripada mati. Jon Snow telah dihidupkan kembali. Sesiapa yang tak tengok lagi Game of Thrones Season 6 Episod 2, maka rajin-rajinkanlah diri anda menonton ok. 



Setelah melalui ritual sihir yang seolah-olah menemui kegagalan, akhirnya mayat Jon Snow kembali membuka mata dan mula bernafas. Yayy Jon Snow hidup semula! 

Kita semakin seronok untuk terus menyaksikan apa lagi kejutan yang akan ditampilkan oleh Game of Thrones musim terbaru. 

Wednesday, April 20, 2016

Diari Ini Tidak Akan Bersawang Lagi


Adalah menjadi satu dosa untuk membiarkan diari ini sepi dengan sawang tanpa penulisan terkini.

Bukannya apa, saya rasa seolah-olah keliru dan celaru dek kerana dihempap pelbagai produk kehidupan yang menghanyutkan. Makanya, saya pun terus kekurangan mood dan inspirasi untuk menulis.

Apa yang boleh saya katakan buat masa sekarang adalah saya sedang sibuk untuk merencana hidup yang tak menentu. Saya berada dalam kekalutan dalam mencari jalan-jalan yang perlu saya lalui. Saya sedang meraba-raba dalam kegelapan, cuba menggapai sesuatu yang dapat membantu. Malah keretakan jiwa akibat beberapa kehilangan yang saya hadapi mengambil masa untuk dicantumkan semula.

Adakah saya akan berjaya? Adakah saya akan gagal? Adakah saya akan dapat mengawal segala rasa yang dicurahkan kepada saya? Apakah yang perlu saya lakukan?

Hidup adalah multitasking yang mutlak. Berhadapan dengan hidup, anda tak boleh nak selesaikan satu-satu perkara. Anda perlu hadapi semua itu secara bersama, dalam masa yang serentak. Fokus yang perlu dikuasai adalah fokus untuk multitasking secara sistematik.

Dan itu lah yang sedang saya cuba kuasai. Dengan itu, jika anda dapati diari ini sedikit bersawang, saya minta tolong anda kongsi sedikit idea di norsyaremanazmi@gmail.com. Terima kasih.