Thursday, February 8, 2018

Pakatan Harapan


Pembentukan Pakatan Harapan yang dipengerusikan oleh Tun M banyak memberi kita beberapa pengajaran.

Pertama, kita mesti berjiwa besar seperti yang ditunjukkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dan keluarga, Mat Sabu, LGE dan Lim Kit Siang serta gerakan reformasi secara keseluruhannya yang mana secara tradisi, berseteru sekian lama dengan Tun M. Namun, untuk melawan kleptokrasi, sengketa dilupakan malah saf dirapatkan untuk membanteras penyelewengan yang kian membarah dalam kepimpinan negara.

Kedua, kita juga mesti tegas dalam membuat keputusan. Keputusan penting perlu disegerakan tanpa lengah-lengah dan apa jua alasan yang akan membantutkan kemajuan ke arah pembentukan saf yang mapan. Ini tertunjuk melalui keputusan yang dibuat oleh Tun M dengan menyingkirkan PAS dalam Pakatan Harapan, memandangkan sikap kepimpinan PAS yang diterajui oleh Hadi Awang yang secara terbuka menyerang kepimpinan PKR, DAP, Amanah dan Bersatu. Walaupun sedia maklum bahawa terdapat risiko pertembungan 3 penjuru dalam Pilihan Raya yang mungkin memberi manfaat kepada UMNO, namun Tun M tidak mahu berlengah lantas membuat kesimpulan bahawa PAS bukanlah rakan kepada Pakatan Harapan.

Bercakap tentang tegas dalam membuat keputusan, seolah-olah nampak kepada kita tentang sikap dan kepimpinan Datuk Seri Azmin Ali yang melengahkan keputusan penting untuk membentuk jentera yang mapan (melibatkan kesemua komponen Pakatan Harapan) bagi peringkat negeri Selangor. Sampai sekarang, masih belum tersedia secara mantap jentera persediaan peringkat negeri Selangor untuk menghadapi Piliharan Raya.

Belajar daripada pengajaran yang disajikan oleh pembentukan Pakatan Harapan ini, saya juga perlu membuat keputusan penting dalam hidup. Saya tidak boleh berlengah-lengah lagi untuk maju ke hadapan. Ya, memang akan ada kesan yang muncul seperti drama dan terputus satu cabang pendapatan namun keputusan ini perlu dibuat dengan tegas.

Terima kasih kepada kepimpinan Pakatan Harapan yang sedikit sebanyak memberi inspirasi kepada saya. Kleptokrasi perlu ditumbangkan sebaliknya diganti dengan penyuburan demokrasi yang tidak ditunjangi oleh demokrat palsu yang hipokrit.


No comments:

Post a Comment